Umno & Perkasa, PAS & GMC

PERKASA

8 Mac 2008 merupakan tarikh Umno dan Barisan Nasional kehilangan majoriti 2/3 buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara. Keputusan pilihanraya 2008 bukan sahaja memberikan tamparan yang hebat kepada Pak Lah malah kepada seluruh warga pencari wang melalui BN khususnya.

Keadaan bertambah genting apabila Umno dan Barisan Nasional tewas 7-1 dalam pilihanraya kecil sebelum dapat menebus maruah di Bagan Pinang. Apakah langkah yang diambil oleh Umno Barisan Nasional untuk menjaga kepentingan politik mereka sebelum PRU-13?

Di sinilah datangnya Perkasa, yang selalu disebut sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan "memperjuangkan" dan "mempertahankan" hak-hak orang Melayu daripada orang bukan Melayu di Malaysia yang sepatutnya tiada kena-mengena dengan Umno walaupun hakikatnya kebanyakan rakyat tahu siapa di belakang tabir Perkasa.

Tun Dr Mahathir berkata Perkasa ialah satu elemen penting untuk melengkapkan BN, meskipun Perkasa ialah sebuah badan NGO yang tidak patut terlibat dalam politik negara. Itulah langkah yang diambil Umno untuk menjaga kepentingan politiknya; dan kita tidak harus berasa hairan dengan tindakan sebegini kerana inilah naluri semulajadi penyokong-penyokong sebuah parti politik untuk bersikap kreatif dalam mempertahankan kuasa yang ada apabila kuasa yang ada semakin menghilang.

GMC

Dalam pilihanraya 2004, PAS ditewaskan dengan teruk di semua kawasan yang ditandinginya, mujur negeri Kelantan masih dapat dipertahankan walaupun berakhir dengan majoriti satu kerusi DUN. Dalam keadaan genting sebegini, takkanlah ahli-ahli dan pejuang PAS duduk senyap tanpa melakukan sesuatu untuk menyelamatkan parti dan juga satu-satunya kerajaan PAS yang ada di Malaysia?

Jika PAS tiada hasrat untuk mempertahankan satu-satunya negeri yang dikuasainya sambil menaruh hasrat bagi menumbangkan kerajaan UMNO Barisan Nasional pada satu hari nanti, bagi ana, malulah PAS digelar sebagai satu parti politik.

Global Media Channel (GMC) Sdn Bhd ialah sebuah syarikat swasta yang mungkin ditubuhkan penyokong-penyokong PAS sendiri untuk menjaga kepentingan PAS secara sukarela. Datuk Mustafa Ali sudahpun menafikan GMC mempunyai sebarang hubungan dengan PAS.

Jika peranan GMC adalah seperti yang didakwa Kickdefella -- untuk memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selain memastikan PAS terus berkuasa di Kelantan, maka bagi ana, ini kesnya sama dengan penubuhan Perkasa – penubuhan GMC merupakan hasil naluri kreatif semulajadi penyokong-penyokong sebuah parti politik untuk mempertahankan kuasa yang semakin menghilang.

Inisiatif GMC, sebagai sebuah syarikat swasta yang tiada kaitan dengan PAS, boleh dilihat sama seperti inisiatif Perkasa sebagai sebuah badan NGO yang tiada kaitan dengan UMNO. Operasi gerak saraf tidak mungkin berjaya jika kedua-dua GMC dan Perkasa mempunyai hubung-kait dengan pihak yang ingin dibantunya. Syed Azidi bukanlah orang PAS, seperti juga Datuk Ibrahim Ali, beliau juga bukanlah seorang ahli UMNO.

Andaian dan Hakikat

Hakikatnya, pada Mac 2008, selain dapat mempertahankan kerajaan negeri Kelantan dengan cemerlang, PAS mendapat negeri Kedah dan dapat menarik majoriti penyokong bukan Islam untuk bertukar persepsi buruk yang sudah berdekad lamanya terhadap PAS.

Ana tak tahu sama ada pencapaian yang disebut adalah sebahagian daripada hasil usaha GMC secara senyap, akan tetapi jika terbukti ya, PAS harus berbangga dan bersyukur kerana ada penyokong-penyokong yang hebat sebegini yang bertungkus lumus menjaga parti tanpa melibatkan sebarang bantuan daripada PAS sendiri.

Jika UMNO Barisan Nasional sanggup melakukan operasi saraf tiap-tiap hari di media arus perdana, takkanlah PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan benda yang sama untuk menjaga kepentingan politik mereka?

Jika dibandingkan dengan RM77 juta yang dibayar pada APCO, dan RM167 juta untuk memenangkan 1Malaysia versi Datuk Seri Najib di Hulu Selangor dengan majoriti 1725 undi, maka ana berani kata orang di belakang takbir GMC adalah 60 kali ganda lebih bijak kerana hanya memerlukan RM4 juta (seperti yang didakwa) untuk menghilangkan majoriti 2/3 UMNO Barisan Nasional di 2008.

Nasihat

Wahai ahli-ahli PAS. Sedarlah bahawa permainan politik oleh Utusan mengenai GMC ini hanyalah satu gerakan operasi saraf untuk melagakan ahli-ahli PAS sesama sendiri dan untuk menutup skandal pemberian kawasan Block L and M yang kaya dengan hasil minyak kepada Brunei. Jika GMC memang ditubuhkan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Pak Lah, maka skandal pemberian kawasan minyak Block L dan M memberikan justifikasi penuh bahawa GMC telah melakukan satu benda yang betul demi PAS, rakyat, bangsa dan negara.

PAS yang kuat dan bersatu cukup digeruni UMNO, dan percayalah tiada orang yang akan tersenyum lebih lebar daripada UMNO sekiranya PAS berpecah. Masa inilah kita perlu bersatu untuk menghadapi operasi saraf musuh supaya misi menggantikan PAS dengan UMNO akan menjadi kenyataan menjelang PRU ke 13.

Salam perjuangan.
-----------------------------
Li Fook Gao berpendapat jika kita sanggup merotan anak apabila teguran tidak menjadi, apa salahnya orang dewasa ditegur secara biadap apabila nasihat dan teguran tersirat tidak menjadi.

No comments

Powered by Blogger.