Undang-undang Jamin Kerahsiaan Undi

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 18 Mei - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menjelaskan setiap undi adalah sulit dan identiti pemilih mestilah dirahsiakan.

Jurucakap Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata kebimbangan masyarakat terhadap sistem daftar pemilih berpunca dari kaedah lama iaitu nombor siri pada senarai nama pemilih turut tercatat pada kertas undi.

"Berdasarkan Akta Perjalanan Pilihan Raya (Peraturan 1981) yang dipinda pada Mei 2006, nama pemilih di dalam senarai tidak akan disalin melalui nombor yang tercatit pada kertas undi," kata Ambiga dalam satu kenyataan beliau Ahad lalu.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul dalam laporan akhbar The New Straits Times memetik kenyataan beliau sebagai berkata,'nama pemilih akan dipadamkan dari senarai berikutan kebimbangan ramai mengenai kerahsiaan undi mereka'.

"Orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan sebarang percubaan pegawai atau mana-mana pihak untuk mencatitkan nombor siri pada kertas undi mereka," pesan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu.

Seksyen 13 Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan setiap undi adalah rahsia dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menjelaskan mana-mana pegawai yang didapati melakukan kesalahan atau kecuaian akan dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda RM5,000.

Manakala Seksyen 5 dibawah akta yang sama, mana-mana pegawai yang mengganggu kerahsiaan undi akan dijatuhi hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM3,000.

Ambiga mengingatkan semua pihak untuk menjalankan tugas mereka tanpa prejudis termasuk ancaman dan gangguan dalam proses pilihan raya.

Sebarang pelanggaran undang-undang akan menyebabkan pesalah dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda RM 5,000 di bawah Seksyen 9 dan 11 akta yang sama.

Manakala di bawah Seksyen 3, penalti maksimum dengan hukuman yang sama juga akan dikenakan kepada pihak yang menghalang seseorang daripada mengundi.

Beliau mengingatkan kepada pengundi untuk mencatit butiran setiap individu yang mengancam atau menghalang mereka daripada mengundi.

Ini berikutan laporan media Mandarin Merdeka Review tentang seorang wanita yang diancam oleh petugas Barisan Nasional bahawa identiti dan kertas undinya akan dibongkar.

Dalam laporan yang sama, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menafikan insiden tersebut dan mengatakan mereka sering mengingatkan pengundi tentang jaminan kerahsiaan undi mereka.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.