Dasar "flip-flop" Sarawak tentang Sesco

Oleh Staf FMT

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Dominique Ng, mengkritik kerajaan negeri ekoran bersikap autokratik dalam berhadapan dengan pengurusan harta benda awam.

Ia ekoran sikap kerajaan negeri yang hanya ‘flip-flop’ berhubung isu penswastaan ke atas syarikat yang membekalkan elektrik di Sarawak iaitu Sesco.

Menurut Ng, Dewan Undangan Negeri meluluskan penswastaan Sesco pada 2004 namun dalam masa lima tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah mengubah fikiran.

"Kerajaan telah membuat penawaran tetapi kemudian menarik balik semua saham yang dimiliki Sarawak Energy Bhd," katanya.

Malah notis penarikan saham itu juga diberi melalui laman web dan akhbar harian tempatan pada 30 November dan 1 Disember 2009.

“Daripada pemilikan awam, ia diswastakan pada 2004; kemudian Kerajaan ambil alih pula pada 2009. Aset utama negeri ini telah ‘digula-gulakan’ tanpa sebarang perundingan mahupun perbicaraan awam," kata Ng.

Kerajaan Sarawak cukup angkuh

“Hak rakyat dinafikan. Kerajaan negeri cukup angkuh dalam menafikan suara rakyat dalam sebarang pentadbiran mahupun polisi awam yang jelas menunjukkan mereka tidak telus.

"Tanpa penjelasan kepada rakyat, kerajaan telah membeli semua saham Sarawak Energy secara sulit pada 2009," katanya.

Sesco Aset Kekayaan Sarawak

Ng menekankan bahawa Sesco merupakan aset kekayaan Sarawak.

"Adakah Sesco/Sarawak Energy kini, mengikuti penswastaan dalam 2004 dan dijadikan syarikat awam kembali pada 2009?” soal beliau.

"Ia sudah menjadi corak kebiasaan sikap autokratik kerajaan BN ini. Mereka jual, namun untuk membeli semula hanya satu khayalan kerana kerajaan menerima pandangan dan motivasi daripada individu yang tamak. Ini turut berlaku membabitkan hak tanah adat atau tanah kerajaan Kuching," ujarnya.

"Kerajaan BN dituntut memberi penjelasan kepada rakyat Sarawak. Kerajaan perlu mengemukakan kesemua laporan tahunan Sesco/Sarawak Energy dari tahun 2004 hingga 2009 agar orang awam dapat meneliti perkara tersebut.

Menurut Ng, ketika pengguna ‘terseksa’ ekoran hal itu, Sarawak Energy pula membuat keuntungan yang banyak. Pada tahun 2005 sahaja keuntungan sebelum cukai mereka ialah RM95 juta berbanding hanya RM75 juta tahun 2004.

"Kerajaan memberi Sesco kepada Sarawak Energy tanpa sebarang surat pembayaran, tetapi kerajaan terpaksa membayar satu jumlah yang tinggi ketika tawaran beli balik itu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.