Khalid: Laporan 15 MP desak saya undur hanya spekulasi

KUALA SELANGOR, 25 Jun – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid hari ini menyifatkan laporan bahawa terdapat pakatan 15 anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendesak beliau melepaskan jawatannya, hanya satu spekulasi.

“Saya tidak menerima apa-apa daripada delegasi terbabit, jadi itu boleh jadi spekulasi sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Sungai Yu di sini.

Laporan media menyebut kesemua anggota Parlimen PKR itu mahu Abdul Khalid berundur dan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Difahamkan, kumpulan sama juga akan menyampaikan cadangan itu kepada kepimpinan PKR semasa pemukiman parti itu di Shah Alam hujung minggu ini.

Ditanya apa tindakan beliau sekiranya diberikan surat mengandungi desakan kumpulan itu, Abdul Khalid berkata, “Saya akan terima dan baca”.

Mengulas mengenai kemungkinan pakatan itu berupaya merombak kepimpinan PKR pada pemilihan parti hujung tahun ini, beliau berkata, “Saya tidak tahu.” – Bernama

No comments

Powered by Blogger.