Lesen Pertaruhan Bola Sepak Boleh Kurangkan Judi Haram - LDP

SANDAKAN, 25 Jun (Bernama) -- Pemberian lesen pertaruhan judi bola sepak di negara ini wajar dilakukan bagi mengurangkan aktiviti perjudian haram, kata Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata perjudian haram, terutama pada masa sekarang membabitkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia yang mencecah sehingga RM300 juta, tidak dapat dihapuskan biarpun tindakan tegas diambil untuk memeranginya.

Liew, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata jika kerajaan memberikan lesen itu, aktiviti perjudian haram dapat dikurangkan melalui pihak yang menawarkannya secara sah.

"Ia mampu mengurangkan perjudian haram membabitkan pertaruhan bola sepak yang berlaku setiap masa bukan sahaja ketika pertandingan Piala Dunia pada masa sekarang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pasar Am pada hari Jumaat.

Beliau berkata menerusi pemberian lesen itu, kerajaan boleh memungut cukai dan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan negara yang sesuai.

"Saya yakin kerajaan akan membuat keputusan yang baik untuk semua pihak dalam perkara ini," kata Liew.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.