Dun Kelantan lulus perbekalan tambahan

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 23 Jun: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang bersidang semalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama (2010) Tahun 2010 membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM17,572,276.56.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa ketika membentang Rang Undang-Undang itu di Dewan Negeri, Kota Darulnaim di sini kelmarin berkata, peruntukan tambahan itu bertujuan menampung perbelanjaan mengurus bagi tahun 2010 yang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan sebelum ini.

“Perbelanjaan tambahan sebanyak RM17,572,276.56 tersebut adalah merupakan perbelanjaan yang terpaksa dibuat dan tidak dapat dielakkan bagi memenuhi beberapa kekurangan di bawah perbelanjaan mengurus tahun 2010.

“Semua perbelanjaan dilakukan bukan semata-mata disengajakan tetapi ianya merupakan perbelanjaan yang diperlukan dan terpaksa dibuat setelah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Persidangan Kali Kedua bagi tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Keduabelas yang diadakan mulai 21 hingga 22 Jun itu juga turut meluluskan Cadangan yang Diberitahu mengenai Anggaran Pembangunan (Tambahan Bilangan 1) Tahun 2010 yang menguntukkan mulai 1 Januari 2010 bagi tahun berakhir 31 Disember 2010.

Rang Undang-Undang tersebut serta Cadangan Anggaran Pembangunan (Tambahan Bilangan 1) Tahun 2010 itu disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah.

No comments

Powered by Blogger.