Asri masih teka-teki, gesa generasi muda daftar pengundi

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 23 Jun — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disebut-sebut akan menyertai Umno masih bermain teka-teki, tetapi menggesa generasi muda yang belum mendaftar sebagai pengundi supaya segera menunaikan tanggungjawab itu.

Kata Asri, generasi muda tanpa mengira kaum dan agama perlu segera mendaftar sebagai pengundi untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas pandangan dan nasihat yang bertalu-talu dikirimkan kepada saya dari seluruh negara (sejak tersiarnya laporan masuk Umno).

“Semoga Allah memberikan kebaikan atas keprihatinan semua pihak.

“Hubungan perasaan kasih dan mengharapkan kebaikan yang digambarkan itu, amat mengharukan saya.

“Atas keprihatinan itu, saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua rakyat Malaysia, terutama generasi muda; tanpa mengira agama, bangsa dan tempat untuk mendaftar diri bagi membolehkan anda mengundi bagi pilihan raya yang akan datang,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Ia merupakan tulisan kedua beliau selepas berita memetik setiausaha kerja Umno mengatakan Asri akan menyertai Umno Jumaat ini.

Asri berkata, mendaftar sebagai pemilih baru perlu ditekankan bagi memastikan suara dan perasaan rakyat terutama generasi muda dapat diterjemahkan dalam sebuah sistem demokrasi.

“Semoga impian untuk melihat Malaysia yang cemerlang, adil, aman dan berteraskan nilai-nilai yang luhur akan dapat dizahirkan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Jelas beliau, suara generasi muda yang mempunyai minda celik dan sentiasa peka kepada keperluan kepada sebuah negara yang mampu menjamin hak rakyat, keamanan dan keadilan untuk setiap individu rakyat amat dituntut.

Malah katanya, Islam yang progresif, realistik dan bebas dari sifat fanatik melulu amat diperlukan dalam mencorakkan masa depan negara ini.

“Marilah pastikan kita semua mendaftarkan diri sebagai pengundi untuk pilihan raya akan datang demi kebaikan untuk semua,” katanya.

Bagaimanapun Asri setakat ini belum mengesahkan ataupun menafikan laporan awal Ahad lalu yang mengatakan beliau akan menyertai Umno.

Asri dalam kenyataan disiarkan menerusi blognya berkata beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Oleh itu Asri berkata, beliau mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

“Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.