Mohd Asri Masuk Umno: Pelbagai Pihak Teruja, Terkejut

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: Pelbagai pihak mengambil sikap tunggu dan lihat ekoran cakap-cakap bahawa bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai Umno lusa.

Malah ada yang berpendapat Mohd Asri tidak wajar bergabung dengan mana-mana parti politik demi mengekalkan kredibilitinya sebagai ulama muda berwibawa dan pragmatik.

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, institusi agama dan mufti adalah milik semua orang tanpa mengira kaum dan etnik.

Malah, katanya, orang bukan Islam juga boleh merujuk dengan mufti.

"Sama ada Mohd Asri menyertai Umno atau tidak itu bergantung kepada pandangan masing-masing.

"Apapun beliau belum lagi menyatakan hasratnya untuk menyertai Umno, maka kebenaran mengenainya masih belum pasti,"

“Bagaimanapun, secara peribadi saya tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan masih berkhidmat untuk kerajaan tidak kira siapa pun yang memerintah," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Mohd Asri disebut-sebut akan menyertai Umno bersama 100 ulama muda lain pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, sehingga kini ia masih khabar angin kerana tokoh agama itu belum menyatakan kebenaran khabar angin itu lagi.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dzulkefly Ahmad pula berpendapat, Umno mungkin tidak akan meletakkan Mohd Asri di tempat yang sepatutnya berikutan tiada tradisi atau budaya yang mengangkat ulama dalam kepimpinan Umno sejak dulu.

Katanya, bekas mufti itu seorang yang berwibawa, tegas terhadap perkara yang tegas tapi fleksibel pada isu-isu yang timbul.

Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor meramalkan Mohd Asri tidak akan menyertai Umno kerana parti itu tidak pernah mengangkat ulama bergandingan dalam kepimpinan politik.

“Sedangkan Islam itu lebih menyeluruh, tidak boleh diperkotak-katikkan, bukan sekadar untuk satu-satu majlis atau jabatan semata-mata,” jelasnya.

“Dan... saya merasakan PAS lebih bersesuaian dengan beliau kerana PAS mempunyai lebih keupayaan dan kekuasaan,” tambahnya.

Namun, beliau turut berpendapat adalah lebih baik sekiranya Mohd Asri tidak menyertai mana-mana parti politik, mengekalkan keseimbangan dalam peranannya sebagai ulama.

Menurut Dzulkefly, jika beliau menyertai Umno pula akan memberi kebaikan kerana pengaruhnya.

“Jika tiada persefahaman, beliau mungkin akan keluar selepas itu sekiranya Umno masih terus bertegas dan ini memberi kesan buruk kepada parti itu," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Fauzi Deraman pula berpendapat penyertaan Mohd Asri tidak akan menjadikan Umno itu lebih 'segar'.

Bagaimanapun beliau tidak menolak bahawa ulama muda itu mempunyai pengaruh dan pengalaman dalam akademik dan keagamaan.

Dengan kelebihan itu, beliau menyifatkan ia sesuatu yang akan menarik minat sesiapa sahaja termasuk Umno.

“Beliau sudah pasti menjadi aset penting, jadi dalam mana-mana penyertaan sekalipun berkemungkinan akan memberi kesan daripada pengaruhnya.

“Namun, ia masih samar-samar. Hanya timbul pelbagai spekulasi mengenainya, jadi kita tunggu saja sama ada benar tentang keputusan berkenaan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.