Dunia mengutuk Israel, kerajaan Malaysia masih terlena

Tindakan tentera Israel menyerang konvoi kapal (Freedom Flotilla) yang membawa bekalan kemanusiaan dan beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, telah mengundang kemarahan ramai pihak.

Kapal konvoi kemanusiaan yang menuju ke Gaza telah diganasi oleh tentera Israel dikawasan perairan antarabangsa lebih 150km dari Gaza. Kejadian tersebut berlaku pada pukul tujuh pagi waktu Mekah (lebih kurang pukul 12 tengah hari waktu Malaysia) pada 31 Mei.

Serangan ganas itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 sukarelawan kemanusiaan yang menuju Gaza terbunuh manakala puluhan lagi cedera. Majoriti sukarelawan yang terbunuh berasal dari negara Turki.

Di beritakan terdapat 12 orang rakyat Malaysia termasuk seorang wartawan dan jurugambar dari Astro Awani berada dalam kapal itu.

Laman sosial seperti Twitter dan Facebook telah menjadi medan awal bagi mengutuk tindakan kejam dan zalim tentera Israel terhadap konvoi flotilla.

Laman sosial tersebut dibanjiri dengan pelbagai komen dan mesej solidariti daripada rakyat Malaysia dan penduduk dari seluruh pelusuk dunia yang marah dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.




Kenyataan lambat kerajaan Malaysia

Walaupun terdapat 12 rakyat Malaysia dalam kapal kemanusiaan tersebut dan bendera Malaysia boleh terlihat dalam berita yang disiarkan oleh Al-Jazeera, CNN dan BBC, kerajaan Malaysia diantara yang terlambat mengeluarkan kenyataan rasmi bagi membantah kekejaman Israel tersebut.

Pada ketika perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengarahkan duta Israel ke Turki untuk berundur dari negaranya dan tiga latihan ketenteraan bersama diantara Israel dan Turki dibatalkan, khabar dari kerajaan Malaysia masih belum kedengaran.

Malahan negara-negara “kafir” seperti Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece memberikan reaksi yang lebih cepat dengan memanggil duta Isreal di negara mereka untuk memberikan penjelasan. Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam reaksi segeranya meminta agar kejadiaan tersebut disiasat.

Kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia untuk mengutuk tindakan “barbaric” tentera Israel itu hanya keluar lewat malam pada 31 Mei 2010. Kelewatan kerajaan Malaysia untuk memberikan respon yang cepat terhadap pembunuhan dan keganasan tentera Zionis terhadap konvoi keamanan ke Gaza telah mencalarkan imej negara.

Pertama, dunia akan melihat bahawa kerajaan Malaysia tidak begitu mengambil berat terhadap keselamatan rakyatnya yang turut berada dalam kapal kemanusiaan yang diganasi oleh tentera Zionis Israel.

Kedua, Malaysia sebagai sebuah negara yang mendakwa sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk melawan penjajahan Israel akan dilihat sebagai sebuah negara yang hanya mampu “beretorik” semata-mata tetapi lambat untuk beraksi apabila krisis timbul.

Perlu diingat bahawa solidariti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bukanlah hanya sekadar memberikan sokongan semata-mata.

Solidariti diantara Malaysia dengan Palestin telah berada ditahap tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan mengharamkan pemegang passport Malaysia untuk menjejakkan kaki ke negara tersebut.

Akan tetapi mengapakah apabila tentera Zionis Israel melancarkan serangan ganas terhadap kapal konvoi kemanusiaan ke Gaza, kerajaan Malaysia terlalu lambat untuk mengeluarkan kenyataan?

Pengaruh APCO?

Timbul spekulasi mengatakan tindakan lambat kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman Israel oleh kerana terpaksa menunggu nasihat daripada APCO Worldwide Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding antarabangsa yang dilantik menjadi perunding komunikasi bagi kerajaan Malaysia.

Kerajaan Malaysia harus memberikan penjelasan terhadap tindakan lambat mereka untuk memberikan reaksi terhadap kekejaman Israel yang melibat 12 orang rakyatnya agar orang ramai tidak terus dibelenggui oleh spekulasi dan khabar angin.

Jika dasar luar negara Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah berubah dengan perdana menteri yang terdahulu, jelaskan kepada rakyat. Semenjak Najib Razak mengambil alih kepimpinan negara, boleh kelihatan berlakunya perubahan dalam dasar luar negara.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi pengerusi Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) dari tahun 2003-2006. Sehingga kini Malaysia masih lagi merupakan ahli kepada NAM.

Akan tetapi di era pemerintahan Najib, kerajaan melalui Wisma Putra memanggil balik wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Datuk Arshad Hussain mengundi menentang usul tersebut yang jelas ditaja oleh Amerika Syarikat terhadap Iran.

Tindakan ini jelas memperlihatkan perbezaan dasar luar negara Malaysia dibawah Najib. Sekaligus tindakan ini bertentangan dengan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali.

Jika mahu mengubah Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak berkecuali, jelaskan kepada rakyat. Jangan cakap lain dan buat lain.

Dikatakan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah mengadakan pertemuan dengan Ehud Barak pada 16 Jun 2009, di satu majlis koktail semasa Pameran Ruang Angkasa dan Penerbangan Antarabangsa ke-48 di Paris, Perancis.

Jika ini dasar terbaru kerajaan Malaysia mahu berkerjasama dengan Israel, jangan berselindung lagi.

Mulakanlah hubungan diplomatik dengan Israel dan hantar duta Malaysia ke Tel Aviv dan benarkan negara Zionis tersebut untuk membuka kedutaan di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya tindakan sebegini lebih jujur daripada terus berselindung dan menipu rakyat.

http://www.aminiskandar.com/?p=2707


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.