Felda Mahu Saman Suara Keadilan

Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR 25 Jun - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menguruskan hal ehwal Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) menyatakan dalam satu sidang media yang diadakan di Balai Perdana Anjung FELDA, bahawa FELDA akan mengambil tindakan undang-undang menyaman akhbar parti KEADILAN, Suara Keadilan kerana mengeluarkan berita di muka hadapan yang berkata 'FELDA BANGKRAP'.

Suara Keadilan edisi 22 ke 29 Jun 2010 memaparkan berita muka hadapan berkenaan pengurangan tunai FELDA dan turut memaparkan beberapa berita lain berkenaan kewangan dan pengurusan FELDA.

"Suratkhabar ini digantung di mana-mana, menyatakan 'Felda Bankrap', bukan tanda soal. Kalau ia menyebut mungkin bankrap, lain ceritanya," kata Maslan sambil menunjukkan muka depan edisi terbaru Suara Keadilan kepada media.

Katanya lagi, walaupun rizab tunai FELDA telah berkurangan sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh empat tahun lalu, aset tetap dan aset semasa FELDA meningkat sebanyak RM6.2 bilion dalam tempoh yang sama.

Maslan juga menyatakan, FELDA merupakan antara syarikat pemilik ladang terbesar di dunia dengan pelaburan di pelbagai negara seperti Indonesia, Afrika selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi dengan kira-kira 23,000 pekerja pengurusan.

Tambah beliau, pihaknya akan menamakan ketua pengarang Suara Keadilan, kira-kira tiga wartawannya, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN Datuk Zaid Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Tan Kee Kwong dan seorang ahli KEADILAN, Haji Suhaimi Said.

Suhaimi merupakan seorang ahli KEADILAN yang telah membuat laporan polis pada 23 Jun lalu meminta polis menyiasat punca utama yang menyebabkan pengurangaa rizab tunai lebih 60% dalam masa lima tahun dan telah menamakan Najib dan Ahmad Maslan yang beliau syak telah berlaku salahguna kuasa dan penyelewengan.

"Sasaran berita ini ialah pada perdana menteri sendiri, dan FELDA juga merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Mereka hendak pecahkan penguasaan BN," kata Maslan.

No comments

Powered by Blogger.