Pemimpin Pakatan, akhbar PKR disaman dakwa Felda muflis

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 25 Jun — Pengurusan Felda akan menyaman akhbar Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah lembaga tersebut sudah muflis.

Felda juga akan menyaman beberapa pemimpin lain iaitu ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim, Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR Datuk Dr Tan Kee Kuang, Pengerusi Biro Felda Suhaimi Said dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Wahid Endut dari PAS.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

“Kita akan saman Suara Keadilan dan pemimpin yang mengatakan bahawa Felda bankrup. Felda ada aset RM12.2 bilion difitnah bankrup.

“Kita akan saman mereka, mungkin ratusan juta. Kita masih dalam perbincangan untuk menentukan berapa jumlah untuk menyaman mereka.

“Tindakan mereka memfitnah Felda memberikan kesan kepada warga Felda termasuk kakitangan dan peneroka. Kenyataan fitnah yang dikeluarkan itu adalah tidak tepat dan berniat jahat,” kata beliau pada sidang media di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Turut akan disaman pemilik permit, penulis dan Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Beliau berkata tuduhan Felda bankrup adalah keterlaluan selain mendakwa pembangkang mempunyai motif tertentu.

“Mungkin mereka (Pakatan Rakyat) kata Felda bankrup kerana ia diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mahu menyerang beliau.

“Selain itu, mungkin kerana Felda ini adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebab itu mereka sengaja memfitnah semata-mata untuk memecahkan kubu ini.

“Mungkin juga mereka dengki melihat organisasi ini berkembang dengan baik sejak mula beroperasi kira-kira 54 tahun lalu,” katanya.

Ahmad berkata, walaupun tunai Felda merosot RM2.73 bilion daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion tahun lalu tetapi aset semasa dan tetap Felda melonjak RM6.2 bilion daripada RM9.17 bilion kepada RM15.37 bilion pada tempoh yang sama.

“Dengan jumlah itu tentunya tidak memberikan gambaran bahawa Felda bankrup. Selain itu Felda adalah antara pemilik ladang yang terbesar di dunia.

“Felda juga memiliki 340,000 hektar ladang yang menghasilkan keuntungan bersih purata RM1.1 bilion setahun sepanjang enam tahun yang lalu.

“Felda juga mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi.

“Kedudukan kewangan Felda sekarang sangat kukuh,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.