Gabungan NGO Islam saran Umno wujudkan sayap ulama

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Ketika wujudnya desas-desusbahawa bekas mufti Perlis akan menyertai Umno esok, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang dilancarkan Ahad lalu berharap parti itu akan mewujudkan sayap ulama bagi memberi ruang kepada golongan ulama memainkan peranan dengan berkesan.

“Sebenarnya dalam Umno memang ramai tokoh ulama, cuma ia tidak begitu menyerlah berbanding Dewan Ulama PAS.

“Dengan kehadiran Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas mufti Perlis) mungkin ia boleh membantu Umno bagi memastikan perjalanan parti itu berlunaskan Islam.

“Jadi tidak salah sekiranya Umno mempertimbangkan untuk mewujudkan Dewan Ulama kerana ia boleh membantu dari segi memberikan pandangan dan juga pendapat,” kata Setiausaha Agung Ikram, Zaid Kamaruddin kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan.

Umno yang berusia lebih enam dekad mempunyai sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera.

Sayap Putera merupakan entiti paling muda dalam Umno.

Parti saingan utama Umno, PAS pula mempunyai Dewan Ulama bersama Dewan Pemuda, Muslimat dan yang terbaru Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Zaid berkata, penglibatan ulama dalam entiti politik penting kerana ia dapat memastikan perjalanan sesebuah parti itu berlandaskan Islam.

“Bagi saya penglibatan ulama dalam sesebuah parti politik adalah baik kerana mereka boleh berfungsi dalam memberikan pandangan dan pendapat bahkan mungkin membantu membuat keputusan berlandaskan Islam,” kata beliau.

The Malaysian Insider difahamkan Asri dijangka menyertai Umno esok bersama sekumpulan ulama yang boleh membantu Barisan Nasional (BN) dan Umno kembali pulih selepas prestasi pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun Asri beliau menyatakan pendirian rasminya setakat ini tetapi perbincangan sedang dijalankan.

“Keputusan Asri mahu menyertai Umno adalah keputusan sendiri.

“Jadi beliau lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya,” kata Zaid.

Zaid yang juga Presiden Jamaah Islam Malaysia (JIM) menyatakan pendirian tegas bahawa Ikram tidak akan menyertai atau menyebelahi mana-mana parti politik termasuk PAS kerana ingin memberi tumpuan melalui aktiviti dakwah kepada masyarakat.

“Ikram tidak akan menyertai parti politik, lagipun Ikram didaftarkan di bawah nama pertubuhan bukan politik.

“Ini kerana kita mahu menumpukan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang cara hidup Islam sebenar.

“Ia juga secara tidak langsung akan memberi pemahaman tepat mengenai Islam kepada masyarakat bukan Islam,” katanya.

Baimanapun Zaid berkata, Ikram bersedia menerima jemputan mana-mana parti untuk memberi pandangan ataupun pendapat mengenai sesuatu perkara.

“Kita akan melibatkan diri dengan parti politik termasuk daripada BN ataupun pembangkang (Pakatan Rakyat) dalam memberikan pandangan ataupun pendapat.

“Kalau kita dijemput oleh mereka (parti politik) kita tidak akan tolak. Senang kata sesiapa yang buat baik kita akan bersama mereka.

“Matlamat Ikram adalah menegakkan syiar Islam tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik,” katanya.

Ikram menggabungkan beberapa kumpulan bukan kerajaan Islam negara ini dilancarkan awal minggu ini.

Keanggotaannya terdiri daripada JIM, MIG, Ausis dan Muslih bagi mewujudkan tadbir urus gerakan dakwah Islam yang baik, tersusun di samping memperteguh kegiatan dakwah mereka.

Sebelum ini, Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, Ikram mahu menjadi badan bukan kerajaan massa menggunakan pendekatan aman, mendekati masyarakat dengan memberi pendidikan agama ke arah perubahan negara.

Perlembagaan Ikram menyebut mereka mempunyai lapan matlamat antaranya menyebar risalah Islam melalui dakwah, mengumpul dan membina akhlak mulia individu muslim, meninggikan taraf sosioekonomi umat Islam, memperjuang hak umat Islam dan menegakkan syariat Islam secara praktikal.

Ikram didaftarkan 22 Okt 2009 dan sehingga kini ia mempunyai 69 cawangan daerah.

Timbalan Presiden Ikram ialah Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom, dua Naib Presiden Wan Subki Wan Salleh dan Syed Ibrahim Syed Noh yang juga pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA.

No comments

Powered by Blogger.