UMNO usah ghairah terima ahli baru

KUALA LUMPUR: UMNO perlu meneliti latar belakang setiap individu yang berhasrat menyertai parti itu dan tidak terlalu ghairah untuk menerima sesiapa saja, termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata Asri bukan tokoh istimewa yang perlu diberikan perhatian dan kesediaannya menyertai UMNO tidak harus diperbesarkan.
“Pemimpin UMNO tidak perlu teruja dengan kesediaan Asri untuk menyertai politik, kerana belum pasti UMNO menjadi pilihannya kerana beliau sebelum ini pernah dilihat berada di pentas bersama pemimpin parti pembangkang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh, berkata bekas Mufti Perlis itu akan menyertai UMNO Bahagian Bukit Bintang, Jumaat ini.

Ab Rauf yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang berkata, kemasukan Asri dan kumpulannya akan menyemarakkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras berkata, langkah berhati-hati UMNO bukan bermakna ia menyekat mana-mana individu menyertai parti itu, tetapi latar belakang mereka perlu diperhalusi.

“Memang UMNO amalkan dasar buka pintu kepada semua orang Melayu, tetapi dalam situasi politik sekarang, kita perlu berwaspada dengan pelbagai muslihat musuh,” katanya.
Syed Ali berkata, kenyataan Asri kononnya beliau akan membawa bersama 100 ulama, termasuk yang berkelulusan doktor falsafah (Phd) menyertai UMNO masih boleh diragui.

Sebaliknya, kata beliau, UMNO wajar mengambil sikap berhati-hati kerana individu terbabit pernah dikaitkan dengan fahaman Wahabi yang bertentangan dengan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

“Ini tidak baik kepada UMNO kerana tidak ada sesiapa yang perlu diberikan layanan istimewa sama ada dia doktor, mufti atau ahli perniagaan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.