Israel juga tawan kapal Rachel Corrie

KUALA LUMPUR, 5 Jun — MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari ini.

Menurut jurucakap Wisma Putra, kapal itu sedang diiring ke pelabuhan Ashdod di Israel.

Sembilan belas aktivis di kapal itu dilaporkan tidak diapa-apakan, kata jurucakap itu.

Dalam satu kenyataan di sini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Malaysia mendesak Israel agar menentukan keselamatan kesemua sukarelawan di kapal berkenaan.

“Malaysia juga menuntut Israel tidak mengambil sebarang tindakan tentera yang drastik dan ganas terhadap penumpang Rachel Corrie yang tidak bersenjata itu,” kata beliau dipetik Bernama.

Anifah berkata kesemua aktivis di kapal Rachel Corrie perlu diberi bantuan bagi menjamin keselamatan mereka.

Anifah berkata Wisma Putra memantau secara dekat perkembangan oleh kerana adanya enam rakyat Malaysia di kapal berkenaan.

Misi bantuan Gaza itu ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah organisasi bukan kerajaan Malaysia.

Kapal Rachel Corrie diberi nama sempena serang wanita Amerika yang terbunuh oleh sebuah jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika memprotes tindakan meroboh sebuah rumah.

Anifah berkata Malaysia turut menggesa Israel menentukan laluan selamat kapal itu ke Gaza untuk menyerahkan kargo bantuan kemanusiaan itu.

Dalam hubungan ini, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar turut meminta Israel memberi jaminan demikian.

Dalam pada itu laporan Reuters memetik Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Navi Pillay sebagai berkata kepungan dikenakan Israel di Gaza adalah haram dan harus digugurkan.

Pillay juga mengulangi desakan agar siasatan dijalankan berhubung serangan tentera Yahudi ke atas konvoi misi kemanusiaan yang menuju Gaza, Isnin lalu.

Dalam insiden itu, kapal milik Turki Mavi Marmara, yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan 10 orang sukarelawan dilaporkan terbunuh.

Seramai 12 orang sukarelawan merupakan rakyat Malaysia dan mereka selamat.

Mereka akan tiba di tanah air awal pagi esok.

“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa menghalang orang awam daripada kebuluran, sebagai kaedah peperangan dan... ia juga melarang tindakan hukuman kolektif ke atas orang awam,” kata Pillay.

“Saya secara konsisten melaporkan kepada negara anggota (PBB) bahawa sekatan adalah haram dan harus ditarik balik,” katanya lagi.

Malah katanya, jikapun sekatan itu dibuktikan betul di bawah undang-undang antarabangsa, operasi ketenteraan Israel terhadap kapal Freedom Flotilla seharusnya dianalisis daripada perspektif tanggungjawab Israel agar membenarkan bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.