MB: Laporan Selcat OK, mahu kawal bonus Semesta

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 5 Jun — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyambut hasil siasatan awal Selcat berhubung dakwaan wujudnya rasuah dalam anak syarikat pasir negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd sambil berjanji akan “mengawal” bayaran imbuhan tahunan yang disifatkan agak lumayan.

“Menyentuh isu pemberian bonus kepada pegawai dan kakitangan Kumpulan Semesta, kerajaan negeri peka dengan sentimen rakyat dan akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dalam pemberian insentif pada masa hadapan,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Khalid (gambar) berkata, sesi pendengaran awam oleh Selcat juga membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor tidak akan melindungi jika ada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Bagaimanapun Khalid tidak menyentuh aspek ketiadaan elemen rasuah yang dimaksudkan oleh Pengerusi Selcat Teng Chang Kim di akhir sesi inkuiri selama tiga semalam.

Teng mengumumkan rumusan awal pada hari terakhir inkuiri semalam selepas bersidang selama tiga hari.

Beliau juga berkata tiada keterangan yang kemukakan pada inkuiri itu menunjukkan Kumpulan Semesta terlibat dalam skandal.

“Jadi di mana skandal itu? Saya tidak nampak sebarang skandal. Kami tidak nampak sebarang isu yang dibawa oleh MP (Kapar S. Manikavasagam) sebagai satu skandal,” kata Teng.

Dalam pada itu, pegawai kanan dan kakitangan Kumpulan Semesta didedahkan telah dibayar bonus lebih RM500,000 pada September 2008 hingga Jun 2009, hanya 10 bulan selepas syarikat itu memulakan operasinya.

Pengerusi Kumpulan Semesta Abdul Shukor Nahor mendedahkan perkara itu pada hari kedua testimoninya kelmarin.

“Staf menerima bonus berjumlah RM503,613.59 bagi akhir Jun 2009, dan RM137,500 bagi akhir Disember 2008,” kata Shukor.

Khalid menjelaskan kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor kerana telah berjaya menjalankan sesi pendengaran awam bagi menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam industri perlombongan pasir di Selangor.

Menteri Besar menambah pendengaran awam tersebut telah menolong menjelaskan banyak isu yang timbul berkenaan industri perlombongan pasir termasuklah kes mencuri pasir dan pengurusan Kumpulan Semesta.

Dalam kenyataan itu, Khalid mengakui, mengikut keterangan yang diberi, adalah jelas mencuri pasir galian di Selangor ini telah berlaku sejak sekian lama sebelum PR mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Kumpulan Semesta ditubuhkan untuk memulangkan hasil semula jadi Selangor kepada rakyat melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor, kata Khalid.

Sebelum Kumpulan Semesta ditubuhkan kata Khalid, kerajaan negeri hanya dapat mendapat pulangan daripada royalti penjualan pasir.

“Tetapi dengan Kumpulan Semesta yang yang berfungsi mengawal aktiviti mengorek dan menjual pasir di Selangor, rakyat dapat menikmati royalty dan keuntungan dari penjualan pasir.

“Kehadiran Kumpulan Semesta juga telah mewujudkan pasaran pasir yang stabil dan mampu memenuhi permintaan terhadap pasir yang meningkat dari semasa ke semasa,” kata Khalid.

Khalid menjelaskan, keberkesanan sebenar tindakan yang dibuat kerajaan negeri boleh dinilai dengan membandingkan kutipan perolehan di antara pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan PR.

Mengikut rekod yang diberikan pada Selcat, kata Khalid, di bawah kerajaan BN, kutipan royalti pasir yang diperolehi adalah sebanyak RM3.4 juta pada 2005 dan 2006 manakala pada 2007 pula RM2.9 juta.

“Selepas Pakatan mengambil alih, hasil ini meningkat hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak RM6.3 juta pada 2008 dan RM5.4 juta pada 2009.

“Walaupun ada penurunan kutipan royalti pada 2009, angka itu dua kali ganda lebih tinggi berbanding di bawah kerajaan BN,” katanya.

Khalid menekankan bahawa fakta itu sekali gus menunjukkan betapa ceteknya minda seorang pemimpin Umno yang mendabik dada mendakwa pendapatan pasir pada 2007 di bawah BN telah kononnya mencecah RM21.5 juta.

“Adalah jelas sekarang bahawa angka tersebut sebenarnya termasuk hasil perlombongan kuari di kawasan hutan simpan di Selangor.

“Adakah mungkin beliau tidak tahu perbezaan antara perlombongan pasir dan kuari?” kata Khalid.

Mengenai isu aktiviti melombong dan menjual pasir secara haram, Khalid seterusnya memberitahu, Selcat telah mendengar bahawa ini adalah bukan perkara baru.

“Sebelum ini jenayah ini tidak pernah dibangkitkan oleh pentadbiran BN kerana aktiviti itu menjadi menjadi sumber kewangan kepada pihak tertentu untuk kepentingan peribadi dan kepartian,” kata Menteri Besar.

Namun apabila kerajaan PR berjaya mendapat perolehan tinggi dan diguna pula untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor, Khalid memberitahu, rakyat lebih peka dengan kejadian curi pasir.

Katanya, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk mengelak kecurian pasir namun sedar seperti jenayah lain, ia tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.

“Jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Negeri akan bekerja keras melalui mesyuarat mingguan bagi meningkat strategi keselamatan dalam membanteras kejadian curi pasir,” katanya.

Selain itu jelas beliau, Kumpulan Semesta akan menolong mengurangkan jumlah lombong pasir haram dengan mengawal pemberian lesen dan hanya mengeluarkan lesen secara tender terbuka kepada kontraktor yang layak.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.