Isu Penghapusan Subsidi

1. Dalam facebook saya, status-status mengenai subsidi memang agak hangat. Kini giliran para pembaca blog pula untuk memberikan pandangan berdasarkan soalan-soalan berikut.

2. Apa yang dibentangkan oleh Idris Jala mengenai subsidi adalah fakta atau pun pendapat? Sekiranya ia bukan fakta, maka apakah sebenarnya status ekonomi negara kita dan apakah fakta yang tuan puan ada ?

3. Sekiranya yang diberitahu oleh Idris Jala adalah pendapat semata-mata, maka kenapa kita perlu respon secara negatif ? Bukankah ia seharusnya melegakan kita semua kerana 2019 Malaysia tidak akan bankrap kerana apa yang dibentangkan adalah satu pendapat manusia sahaja sama seperti pembikin filem yang mengatakan 2012 dunia akan kiamat!

4. Kenapa Najib berani mengambil langkah sebegini yang mana isu berkaitan subsidi ini boleh menamatkan riwayat politiknya sendiri ? Penangannya terhadap masa depan BN adalah jauh lebih dahsyat dari kes Altantuya!

5. Bagi saya pembangkang di peringkat Persekutuan sepatutnya berasa amat gembira dengan langkah berani mati Najib ini kerana Najib sedang menggali kubur politiknya sendiri. Biarkan sahaja subsidi itu dihapuskan hari ini, sebab esok hari kerajaan Najib boleh ditumbangkan melalui jalan raya. Lusa bila dah pegang Putrajaya, laksanakan balik subsidi. Bukan begitu ?

6. Adakah tindakan Idris Jala sebenarnya adalah mahu menyatakan kerajaan BN telah silap, dan sebenarnya memberikan mesej, “Wahai rakyat Malaysia, kutuk lah kerajaan BN sesuka hatimu” atau sebenarnya dia menyatakan, “Wahai rakyat Malaysia, kerajaan BN ada buat silap dan kami sedang membetulkan semula.”

7. Adakah dengan menyatakan ini semua kesilapan BN, maka selepas PRU 13 nanti apabila PR memerintah pula maka masalah-masalah yang dibangkitkan hari ini akan terus hilang ? Kerana ramai yang menyalahkan kerajaan sahaja dalam hal ini. Justeru, tukar kerajaan pasti akan menyelesaikan masalah.

8. Siapa sebenarnya yang mendapatkan manfaat terbesar dari subsidi? Misalnya subsidi gula. Adakah ia penanam tebu, pengeluar gula, pemborong gula, peruncit gula, pembeli gula untuk tujuan komersil atau pembeli gula seperti kita semua ? Andaikan subsidi gula berjumlah RM 1 bilion setahun, berapa ribu ringgit yang kita (orang biasa) dapat sebenarnya hasil dari subsidi itu tadi setiap tahun ? Adakah kita semua berjaya menjadi jutawan dengan menjadi pembeli gula subsidi ?

9. Bukankah kita patut menggalakkan dan menggesa kerajaan agar meningkatkan peranan zakat dan wakaf dalam masyarakat untuk membantu orang-orang fakir dan miskin untuk membantu mereka yang betul-betul tidak mampu ini? Zakat dan wakaf ini adalah kuasa kerajaan negeri sepenuhnya. Kenapa kita lebih sensitif dengan isu subsidi yang sebenarnya “bantuan” itu tidak sampai pun kepada golongan fakir yang duit pun tidak ada nak beli gula berbanding duit zakat yang sepatutnya sampai terus kepada mereka.

10. Sekarang, sekiranya apa yang dibentangkan oleh Idris Jala itu auta, tuan puan patut abaikan hiruk pikuk yang wujud kerana itu semua gimik politik Najib sahaja kerana Malaysia tidak akan bankrap seperti Greece pun, isu subsidi ini bakal penentu hidup mati kerajaan BN. TETAPI, sekiranya tuan puan menerimanya sebagai fakta, apakah perancangan tuan puan untuk mendapat pendapatan tahunan tambahan sebanyak RM 12, 900 lagi ?
---------------------------
Catatan:


Pakdi,
Penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang.
(c)Pakdi.net
http://www.pakdi.net/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.