Jawatan Timbalan Presiden PAS Untuk Wanita?

Oleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: Cadangan agar ruang untuk wanita diberikan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS bukanlah satu cubaan untuk membangkitkan isu ‘gender bias’.

Namun perkara itu dilihat hanya sebagai satu usul biasa bagi mengiktiraf penglibatan wanita di peringkat penggubalan dasar parti.

Naib Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Yusoff ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PAS menegaskan, cadangan itu juga seiring dengan prinsip Pakatan Rakyat yang memperuntukan minima 30 peratus penglibatan wanita dalam setiap peringkat.

Beliau berkata, "ruang agar Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri diberi kepada wanita juga kini perlu diberi perhatian.

"Kita mahu sekurang-kurangnya ada dua suara muslimat di peringkat penggubal dasar parti," katanya selepas melancarkan kempen Meriahkan Muktamar Jubli Emas PAS ke-50 di sini hari ini.

Siti Zailah yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang turut yakin perkara ini akan mendapat perhatian kepimpinan tertinggi parti memandangkan ia tidak bercanggah dengan prinsip perlembagaan parti.

"Kemungkinan perkara ini menjadi satu isu panas semasa usul perbahasan Muktamar Tahunan PAS di Kota Bharu nanti.

"Tapi apa yang ditekankan sekali lagi di sini adalah kita bukan mahu letakkan wanita hanya untuk cari glamor, tapi sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam parti," terang beliau.

"Namun apa jua keputusan peringkat tertinggi perlu kita hormati kerana secara dasarnya seseorang individu itu dipilih bukan kerana hanya untuk memenuhui kuota, tapi kerana kredibiliti dan kebolehannya menerajui peringkat tertinggi parti.

Muktamar PAS kali ini akan di adakan di Pusat Tarbiyah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu dari 11 hingga 13 Jun ini.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.