KEADILAN Tawar Dr Mohd Asri Sertai Parti

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pakatan Rakyat meminta bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang digembar-gemburkan akan menyertai Umno Jumaat ini agar membuat keputusan yang bijak .

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berpendapat sebagai pemimpin muda Pulau Pinang beliau mengalu-alukan Dr Mohd Asri menyertai KEADILAN.

"Saya berpendapat beliau mempunyai potensi yang tinggi untuk membangunkan Pulau Pinang.

"Tokoh muda yang mempunyai ketokohan dari segi ilmu, saya mahu beliau bersama-sama Pakatan Rakyat terutama KEADILAN untuk meneruskan agenda reformasi di Pulau Pinang," kata Yusmadi.

Menurut beliau, sepanjang beliau mengenali Dr Mohd Azri semasa di bangku sekolah dan ketika bersama-sama belajar di Kolej Islam beliau menganggap ulama muda mempunyai jiwa seorang reformis.

"Oleh kerana itu saya menjemput beliau menyertai KEADILAN," tawar Yusmadi.

Tambah beliau, KEADILAN memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang menyertai parti tersebut.

Sementara itu Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin berkata beliau yakin Dr Mohd Asri tidak akan sesekali menyertai Umno.

Menurut Zuraida beliau yakin bekas mufti itu akan membuat keputusan yang bijak berhubung masa depannya melalui parti politik.

"Walau pun kita mengalukan-alukan beliau menyertai KEADILAN tetapi kita tidaklah terdesak seperti mana Umno sekarang ini yang memerlukan ulama menyokong parti itu," jelas Zuraida.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional ketika ini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan imej parti yang telah rosak akibat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan lesen judi sukan bola sepak kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

No comments

Powered by Blogger.