Mampukah Kemasukan Asri Dalam Umno Cegah Umno Dari Kemungkaran dan Zalimi Rakyat

Mampukah Kemasukan Asri Dalam Umno Cegah Umno Dari Kemungkaran dan Zalimi Rakyat? tajuk ini sengaja saya pilih bagi mengulas ura-ura kemasukan Dr Mohd Asri Zainul Abidin ke dalam Umno. Sebagai hamba Allah saya meletakan harapan supaya Dr. Asri (Kalau betul nak masuk Umno sangat-sangat) supaya berusaha mencegah Umno, kerana beliau bukanlah orang yang boleh merubah Umno. Merubah Umno adalah tugas Allah yang memberikan hidayah, kita hanya berdakwah termasuklah dalam ruang lingkup kerja mencegah. Tapi mampukah?

Mulanya Shahidan Kassim sebut ada 100 orang Ulama’, tapi Malaysiakini pula dapat maklumat setakat ini baru 20 orang yang berbincang dengan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh. Tak kisah berapa ramai Ulama’ nak masuk Umno. PAS tak pening kepala atau susah hati sebab hidayah itu Allah yang bagi.

Tugas Ulama’ sama ada dalam PAS, dalam Umno, dalam NGO dan mana-mana ceruk dunia sekalipun adalah jelas. Sebut sahaja Ulama’ kita akan faham bahawa tugas mereka adalah memimpin masyarakat mencegah kemungkaran dan menegakan kebenaran.

Masuklah mana-mana pun, itulah tugas utama mereka didalam memimpin manusia ke jalan Allah. Jika mereka masuk Pas tapi tak buat kerja itu, mereka tak boleh dipanggil Ulama’, begitu juga kalau masuk Umno tapi diam diri dan tak berbuat apa-apa bila pemimpin mereka halalkan judi dan zalimi rakyat, akhirnya mereka tak layak dipanggil Ulama’.

Baru-baru ini Dr. Asri sendiri menegur Ulama’ Umno dalam artikelnya bertajuk “Ulama Umno bakar kapal”. Ulama Umno baginya adalah ulama’ Ortodoks yang tidak membukan ruang keluasan berijtihad dan hanya memfokuskan isu-isu asas dalam ibadat tetapi tidak berani menyentuh isu-isu dasar dan kesilapan pemimpin Umno.

Ini sekaligus menjelaskan bahawa bukan baru ini Ulama’ masuk Umno. Sebelum PAS ada Ulama’ di Malaysia terlebih dahulu masuk Umno. Mereka dikumpulkan dalam Biro Agama Umno kemudiannya keluar beramai-ramai tubuhkan PAS. Tuan Haji Ahmad Fuad yang juga Ketua Biro Agama umno membawa para Ulama keluar dari Umno dan menubuhkan PAS berikutkan kedegilan Umno meneruskan loteri kebajikan dan fun fair yang bertentangan dengan Islam.

Nakhaie Ahmad pada 1987 pernah menyebut bahawa:

“Ini dapat dilihat daripada ruh penubuhan Pas di kalangan ulama’ dalam Umno merasakan perlu satu pertubuhan yang mengumpulkan semua ulama’ dalam satu kesatuan untuk menjadi satu barisan yang kukuh dalam menentang kemunkaran yang dilakukan oleh Umno seperti mengajurkan loteri, mengadakan fun fair yang dianggap oleh oleh ulama’ mengotorkan kesucian Islam.”

Namun Nakhaie yang ketika itu antara Ulama’ tersohor dan menjadi pimpinan utama PAS tewas dalam perjuangannya dan menyertai Umno yang dia sendiri tahu masih meneruskan aktiviti kemungkaran dan mengeluarkan lesen-lesen judi hingga ke hari ini.

Pada masa itu, beliau masuk Umno kerana menganggap PAS tidak mampu memerintah Malaysia, PAS tak boleh pergi jauh macam Umno. Tapi akhirnya masa mengajarkan beliau bahawa PAS terus berkembang menyaingi Umno dan memerintah Kelantan dan Kedah hari ini. Namun kelibatnya dalam Umno, hampir tidak dipedulikan pemimpin Umno. Ilmunya disimpan dalam khazanah mindanya. Beliau hanya menegur tentang aurat isteri pemimpin Umno secara umum, itu pun ketika disoal secara spontan oleh peserta program Forum yang dihadirinya di Terengganu.

Izzahnya sebagai Ulama’ hilang begitu sahaja sebaik menyertai Umno. Beliau tidak lagi berani menegur kesalahan pemimpin Umno, walaupun dia tahu Umno masih lagi menzalimi rakyat, rasuah dan meluluskan lesen judi.

Hal yang sama tidak mustahil berlaku kepada dr. Asri. Hari ini beliau lantang mengkritik Ulama’ dalam Umno, tapi adakah beliau mampu melakukan perkara yang sama jika beliau menyertai Umno.

Antara cara mudah yang Umno lakukakan bagi mendiamkan para Ulama’ adalah dengan memberikan mereka jawatan utama bagi menjaga Jakim, YADIM, YAPIEM, Tabung Haji dan perlbagai institusi Islam. Jadi dengan itu mereka langsung tidak diberikan ruang menyertai ruang Politik. Paling jauh pun macam Yusof Noor, Mat Zin, Jamil Khir dan beberapa lagi. Mereka dijadikan menteri, tapi hanya boleh bercakap dalam soal-soal pentabiran Islam tetapi bukan soal halal haram apa yangKerajaan atau Umno buat.

Ulama dipimpin dan mengikut telunjuk pemimpin Umno, sedang dalam PAS Ulama’ diletakan dalam tempat tertinggi dan dihormati.

Mungkin dalam umno mereka boleh mendapat ganjaran besar, gaji dan pelbagai dana, tapi kuasa dan suara mereka terhad. Jadi apakah bentuk perjuangan Dr. Asri kalau mahu menyertai Umno.

Saya tetap bersangka baik bahawa dalam umno ramai mereka yang berilmu mahu kepada Islam, tetapi hidayah Allah belum cukup sampai kepada mereka. Mereka masih was-was tinggalkan Umno kerana takut tak dapat cari kerja, tak dapat ganjaran yang besar, diboikot atau digam dari agensi Kerajaan dan media milik Kerajaan serta macam-macam lagi. Tapi mereka tak tahu bahawa dalam PAS belum ada Ulama’ yang mati dalam keadaan faqir.

Setiap mereka yang hidup dimuka bumi ini Allah telah janjikan rezeki. Jadual hidup mereka juga Allah dah susun. Kalau mereka Ikhlas, Allah tetap akan menguji, cuma sejauh mana mereka tahan dengan ujian itu. Adalah yang tak tahan dan ambil jalan mudah.

Saya juga khuatir dengan teori Malaysiakini bahawa Dr. Asri nak masuk Umno kerana takut masuk ISA kerana isu Wahabi yang banyak dikaitkan dengan dirinya. Jika dia benar, ISA itu hanya penjara dunia. Bukan neraka Allah. Apa jua, perjuangan kita harus fokus dan kembali kepada niat asal.

Dimana pun kita berjuang, kita kena gunakan ilmu yang Allah beri untuk cegah kemungkaran dan nyatakan kebenaran, walaupun nyawa jadi taruhan. Sesungguhnya jika nyawa jadi taruhan, itu lebih baik bagi kita yang mahu bejuang Islam kerana sebaik sahaja pemerintah yang zalim mengambil nyawa kita maka merdekalah kita dari kemungkaran dunia dan kembali sejahtera disisi Allah.

fikir-fikirlah wahai Dr. Asri kerana esok belum tentu kita akan dapat bernafas lagi

http://syukran.wordpress.com/2010/06/23/mampukah-kemasukan-asri-dalam-umno-cegah-umno-dari-kemungkaran-dan-zalimi-rakyat/

No comments

Powered by Blogger.