Kerajaan Mongolia Jelaskan Bon Keselamatan Bagi Pihak Keluarga Altantuya 30 Jun

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 16 Jun - Karpal Singh, peguam bagi pihak keluarga mangsa pembunuhan kejam bangsa Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berkata kerajaan Mongolia akan membantu keluarga mendiang menjelaskan deposit bon keselamatan yang berjumlah RM60,000 sebagai jaminan bagi mahkamah meneruskan kes tuntutan saman ganti rugi.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen menyatakan kes saman tuntutan ganti rugi keluarga Altantuya tersebut akan mengambil masa kerana dakwaan kes jenayah berkenaan pembunuhan tersebut masih dijalankan.

Kini status kes tersebut berada di peringkat Mahkamah Rayuan dan akan disambung ke Mahkamah Persekutuan.

"Mereka akan jelaskan bayaran tersebut sebelum 30 Jun ini, jadi cadangan untuk mendapatkan derma bagi pihak bapa Altantuya, Shaariibuu Setev telah diselesaikan," kata Karpal kepada suara Keadilan.

Karpal pernah bercadang sebelum ini bahawa beliau akan meminta jasa baik semua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu menjelaskan bayaran jaminan kos itu bagi pihak keluarga Altantuya.

Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa, dan dua anak lelaki mangsa, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, menyaman kerajaan Malaysia, Abdul Razak Baginda dan dua tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dengan menuntut ganti rugi RM100 juta bagi kematian wanita itu.

Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4 oleh Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) dan cebisan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 Nov 2006.

Berikutan itu, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan memfailkan permohonan agar keluarga Altantuya menyediakan jaminan kos kepada mereka sebanyak RM1 juta atau sebarang jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah.

Selepas rayuan dibuat, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mac 2010 mengarahkan keluarga Altantuya Shaariibuu membayar bon keselamatan berjumlah RM60,000 kepada kerajaan Malaysia dan Abdul Razak yang dianggap penasihat politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Plaintif dikehendaki mendeposit bayaran tersebut kepada mahkamah sebagai jaminan untuk meneruskan prosiding saman mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaleha Yusof semasa membuat keputusan itu di dalam kamarnya memberi tempoh tiga bulan untuk membayar wang tersebut, iaitu RM30,000 kepada setiap defendan (kerajaan Malaysia dan Abdul Razak).

Shaariibuu Setev juga dimaklumkan bahawa beliau telah cuba mendapatkan bantuan daripada ahli parlimen Mongolia kerana dia tidak berkemampuan dan jumlah bayaran agak besar, maka beliau cuba untuk mendapatkan bantuan dari ahli parlimen Malaysia.

Karpal yang mewakili keluarga Altantuya, menjelaskan bahawa beliau tidak akan membebankan keluarga Altantuya untuk membayar jaminan kos itu kerana ayah Altantuya, Shaariibuu Setev yang berpendapatan AS$200 (RM620) sebulan, perlu menyara keluarganya termasuk dua anak Altantuya.

No comments

Powered by Blogger.