Kes Yahya Shaari: Timbalan Presiden KEADILAN Beri Keterangan

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 24 Jun - Perbicaraaan kes penyelewengan dana oleh bekas Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Shaari diberitahu pembukaan akaun bank tidak memerlukan resolusi daripada KEADILAN tetapi memerlukan kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi untuk memilih penama dan kemudian mendapatkan dokumen rasmi daripada parti untuk tujuan pengesahan oleh pihak bank.

Demikian keterangan Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali ketika diminta menjelaskan berkenaan prosedur parti berkenaan resolusi untuk membuka akaun menggunakan nama KEADILAN.

Perkara ini disahkan oleh saksi kedua iaitu bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Salehuddin Hashim.

Beliau bersetuju dengan keterangan Dr Syed Husin berkenaan keperluan resolusi untuk membuka akaun bank bagi pihak parti.

Salehuddin juga ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya, Roziza Sidek samada beliau sedar atau diberitahu berkenaan pembukaan akaun Maybank oleh Mohd Yahya.

Salehuddin berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu dan tidak diberitahu berkenaan pembukaan akaun itu.

Dr Syed Husin pada mulanya dijangkakan akan memberikan keterangan hari ini tetapi atas sebab tertentu pihak pendakwaraya telah memanggil beliau untuk memberi keterangan lebih awal.

Selain Dr Syed Husin dan Salehuddin, pihak pendakwaraya juga memanggil pegawai Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor.Pegawai Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor diminta menjelaskan berkenaan prosedur pembayaran, proses yang perlu dilalui sebelum meluluskan cek pembayaran dan penama yang perlu menandatangani cek berkenaan.

Prosiding menjurus kepada hujah pendakwaraya untuk membuktikan kaedah penipuan yang didakwa digunakan oleh Mohd Yahya.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan setelah mendengar keterangan dan pengesahan oleh saksi dan akan disambung pukul 8 pagi hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka memberi keterangan pada tengahari bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Datuk Abd Karim Munisar.

No comments

Powered by Blogger.