MAS minta nasihat Sultan Selangor isu Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru bersama tujuh wakil penduduk akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Aidilfitri bagi mendapatkan pandangan dan nasihat dalam isu pembangunan Kampung Baru.

Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi, berkata ahli Lembaga Pentadbiran MAS Kampung Baru membuat keputusan berkenaan dalam satu mesyuarat khas pada 15 Jun lalu.
“Kita membuat keputusan ini selepas meneliti beberapa perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru serta memikirkan nasib orang Melayu yang berada di kawasan bandar terutama Kuala Lumpur.
“Kami sudah memaklumkan pihak istana pada 17 Jun lalu, kami mahu menghadap Sultan Selangor bagi mengadu masalah yang dihadapi berikutan kekeliruan dan kekecewaan penduduk dengan perancangan pembangunan kampung ini,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Shamsuri berkata, Lembaga Pentadbiran MAS Kampung Baru sudah dimaklumkan oleh pihak istana mereka berpeluang menghadap Sultan Selangor selepas Aidilfitri tetapi tarikh sebenar belum dapat ditetapkan pihak istana.

“Tanah di Kampung Baru ini adalah kurnia Almarhum Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor) kepada orang Melayu kira-kira seratus tahun dulu dan sehingga sekarang Sultan Selangor berperanan sebagai pelindung dan penjaga kepentingan serta hak orang Melayu di Kampung Baru.

“Justeru, dalam isu pembangunan Kampung Baru, Sultan Selangor berhak memberi pandangan serta nasihat kepada MAS dan penduduk Kampung Baru. Malah, kedudukan MAS sebagai badan pentadbir Kampung Baru akan diputuskan Sultan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang sejarah 110 tahun penubuhan Kampung Baru, ini kali pertama Lembaga Pentadbiran MAS dan penduduk Kampung Baru mahu mengadap Sultan Selangor bagi mengadu nasib mereka.

Ditanya mengenai cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya kerajaan negeri memajukan Kampung Baru, Shamsuri berkata, MAS serta penduduk masih menunggu pembentangan cadangan itu.

“MAS dan penduduk sudah mendengar penerangan kerajaan Persekutuan dan kami juga perlu mendengar cadangan kerajaan negeri Selangor supaya dapat membuat penilaian dan pertimbangan paling baik demi kepentingan orang Melayu di Kampung Baru,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.