Pakatan Rakyat Desak Umno-BN Dedahkan Kandungan POA

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pakatan Rakyat meminta kerajaan Umno-Barisan Nasional supaya memperincikan bentuk perjanjian yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Singapura (POA).

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat telah meminta Umno-BN memberi penjelasan berhubung perjanjian tersebut.

"Ketika mengikut pengalaman Anwar semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, tidak semudah itu kerajaan Singapura membenarkan dan mengiyakan perkara yang dibincangkan kalau bukan kerana kerajaan Umno-BN menyerahkan segala-galanya kepada mereka.

"Apa yang kita mahu tahu, apakah yang telah diserahkan dan berapa jumlahnya kerana kita mahu memastikan tanah yang bernilai itu akhirnya memberikan pulangan yang baik kepada Malaysia.

"Persoalan prinsip 'value for money' itu harus ditekankan dan apakah pulangan yang diperolehi hasil daripada rundingan tersebut," tegas Azmin di parlimen semalam.

Menurut Azmin, perkara itu menimbulkan banyak persoalan dan sebab itu ia haruslah di bawa ke parlimen untuk dibincangkan secara bersama sebelum ianya ditandatangani.

Katanya lagi, perkara yang sudah dibincangkan terlalu lama oleh beberapa Perdana Menteri sebelum ini tidak mungkin diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan Umno-BN yang tergesa-gesa menandatangani perjanjian ini tanpa dibincangkan bersama ahli parlimen yang lain.

Tambah Azmin, perjanjian tersebut harus dibahaskan kerana khuatir kedaulatan dan keselamatan negara ini akan tergadai akibat kerakusan beberapa individu seperti yang terjadi dengan jelapang minyak Blok L dan M Sabah sebelum ini.

No comments

Powered by Blogger.