Umno-BN Rekacipta Isu JI Kaitkan Mufti, Abdul Hadi

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 24 Jun - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan kerajaan mengaitkan ulama dan tokoh politik dalam aktiviti keganasan berunsur militan Islam sebagai satu pembohongan besar.

Menurutnya Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan sebarang aktiviti bersifat keganasan, tetapi mempersoalkan apakah tujuan beberapa ulama dan ahli politik termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikaitkan dengan tuduhan sebegitu.

"Ini yang menimbulkan suatu polemik. Saya takut Ketua Polis Negara telah ditekan untuk mencipta satu perkara bukan sekadar nak mengawal keselamatan negara tetapi mencipta satu perkara untuk menguntungkan agenda yang kita bimbangi.

"Ini saya katakan pembohongan telah berlaku," katanya ketika meminta penjelasan Tmbalan Menteri Dalam Megeri mengenai isu itu di parlimen petang semalam.

Mufti dan bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan mereka dengan kumpulan Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI) yang dikatakan sebagai pengganas.

Sehubungan itu mereka berkata, dakwaan pelbagai pihak terutama pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebagai permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

Ia berikutan laporan media mengenai satu majlis taklimat keselamatan negara anjuran polis yang mengaitkan mereka dengan kumpulan Wahabi dan pengganas.

Selain mereka, Abdul Hadi dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikaitkan dengan gerakan itu.

Laporan media menyebut mesyuarat anti-keganasan yang diadakan di sebuah hotel di Sepang Isnin lalu yang melibatkan pegawai tertinggi polis telah memberi taklimat mengenai 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi, JI dan beberapa lagi pemimpin politik negara.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan kerajaan cuba menggembar gemburkan isu yang tidak dibuktikan itu menimbulkan imej buruk kepada negara.

"Sedikit waktu dahulu kita bangkitkan dalam Dewan tentang bagaimana sebuah perunding Political And Economic Risk Consultancy (PERC) yang meletakkan Malaysia dalam keadaan yang cukup buruk dari segi kestabilan ekonomi dan politik.

"Inilah antaranya yang berlaku dan terus berlaku ketika kerajaan tidak melaporkan dengan cermat. Laporan PERC itu menyatakan Malaysia menerima kesan terhadap status sebagai pelaburan destinasi kerana isu ini," tegas beliau.

Katanya, dalam satu seminar Islam yang dihadiri beliau di Sydney, Australia disebutkan bahawa perbuatan kerajaan negara Islam sendiri yang mengembar-gemburkan aktiviti keganasan menyebabkan risiko kebimbangan itu meningkat.

"Saya kira tidak ada untungnya perkara sebegini diteruskan," ujarnya.

Menjawab soalan, Datuk Wira Abu Seman Yusup berkata beliau telah menerima laporan taklimat tersebut dan berkata pegawai polis yang hadir dalam majlis itu turut 'berpuas hati' dengannya.

Bagaimana pun beliau tidak menjelaskan laporan taklimat berkenaan secara terperinci.

No comments

Powered by Blogger.