Kesian. Bunyi Macam Kaya Tapi Ada Adun UMNO Terpaksa Berhutang

ADUN UMNO terpaksa berhutang

ALOR SETAR - Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Majlis Tertinggi UMNO perlu mengkaji semula peruntukan pembangunan projek yang disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang bukan daripada kalangan Ketua UMNO bahagian.

ADUN Ayer Hangat, Mohd Rawi Abd Hamid berkata, apa yang berlaku di Kedah dan kebanyakan negeri lain, peruntukan khas ADUN untuk menyelesaikan masalah rakyat hanya bertumpu kepada peruntukan Kerajaan Pusat yang disalurkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) semata-mata berbanding Ahli Parlimen dan ketua bahagian yang mendapat peruntukan terus daripada Ibu Pejabat UMNO.

Menurutnya, kerenah birokrasi ICU negeri melambatkan kelulusan projek pembangunan rakyat yang dicadangkan menyebabkan kebanyakan ADUN yang bukan ketua bahagian terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri, mendahulukan wang untuk kegunaan rakyat.

“Elaun bulanan ADUN terlalu sedikit dan menyamai gaji pengetua sekolah iaitu RM4,500. Jika ditolak perbelanjaan keperluan rumah, hutang bank, tuntutan rakyat, duit kenduri kampung dan bil utiliti Pusat Khidmat DUN, bukan sahaja tiada apa yang tinggal malahan terpaksa berhutang.

“Apa yang berlaku ialah ADUN bukan ketua bahagian menderita kerana elaun bulanan tidak cukup dan realitinya, kami tidak mendapat suntikan modal secara terus daripada UMNO Pusat, sedangkan ketua bahagian dan penyelaras kawasan yang bukan ADUN mendapat elaun dan peruntukan lebih,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mohd Rawi yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Langkawi turut menggesa satu perjumpaan khas ADUN UMNO bukan ketua bahagian dengan pemimpin atasan UMNO Pusat diadakan segera untuk membincangkan nasib mereka memandangkan kebanyakannya bersemangat untuk berkhidmat kepada rakyat, namun kecewa kerana peruntukan dana sangat terhad.

“ADUN UMNO bukan ketua bahagian boleh mati sakit jantung memikirkan keadaan kewangan yang meruncing akibat bebanan perbelanjaan berlebihan. Sudahlah ICU mengamalkan birokrasi dan dipercayai ‘dikawal’ oleh pemimpin UMNO tertentu, segala kelulusan projek juga sering ditangguh atas alasan yang tidak jelas.

“Semua urusan menjaga rakyat adalah tanggungjawab ADUN sahaja yang pikul. Jika ADUN pula alami masalah, siapa yang hendak tolong?” katanya.

ADUN Bayu, Azmi Che Husain pula meminta ICU lebih efisien dan memahami keadaan semasa ADUN serta rakyat dan tidak hanya mengejar pangkat atau Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) semata-mata tanpa mempedulikan kehendak rakyat.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Baling itu turut menyeru kepimpinan tertinggi parti supaya tidak memberikan keutamaan kepada Ahli Parlimen, ketua bahagian dan penyelaras kawasan semata-mata kerana kemudahan sama rata kepada ADUN bukan ketua bahagian juga penting memandangkan mereka merupakan ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional (BN).

“Jika dilihat masa kini, ketua bahagian di kawasan tertentu menguruskan segala peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat. Pendek kata segala peruntukan yang dicurahkan terpulang kepada diri mereka sama ada hendak joli atau berkhidmat kepada rakyat.

“Dengan kata lain, ketua bahagian yang bukan ADUN mempunyai kuasa penuh menentukan ke mana aliran perbelanjaan peruntukan. Inilah yang mengakibatkan jawatan ketua bahagian menjadi rebutan semua ahli UMNO hingga ada antaranya dicemari politik wang,” katanya.

ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim dalam kenyataan disiarkan Sinar Harian 1 Jun lalu berkata, ada ADUN UMNO di negeri ini yang sukar berkerjasama dengan ketua UMNO bahagian kerana sikap segelintir mereka yang menyalahgunakan peruntukan di kawasan masing-masing menyebabkan ADUN terpaksa mengeluarkan belanja untuk keperluan rakyat daripada poket sendiri.

Sementara itu, ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Jaapar yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu berkata, ADUN memainkan peranan utama untuk merampas kembali Kedah daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka merupakan individu yang boleh mendekati rakyat, tidak seperti ketua bahagian dan penyelaras parlimen.

Menurutnya, fungsi ADUN seharusnya digunakan sepenuhnya untuk memujuk rakyat kembali menyokong BN dan segala suntikan modal dan moral perlu diberikan kepada mereka dari semasa ke semasa untuk melicinkan usaha memenangi semula hati rakyat.

“Keadaan di Kedah adalah sebaliknya apabila ADUN yang serba serbi buat kerja dan cuba memenangi semula hati rakyat manakala pemimpin atasan langsung tidak menggerakkan idea dan membantu usaha ADUN yang bukan ketua bahagian.

“Di Kedah, bilangan ADUN BN yang bukan ketua bahagian adalah majoriti iaitu tujuh daripada 13 orang. Sekiranya suara dan nasib ADUN majoriti ini tidak diendahkan, jangan haraplah UMNO akan merampas kembali Kedah,” katanya.

ADUN Guar Chempedak juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerai, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail pula secara peribadi tidak mempunyai sebarang masalah dengan ICU negeri tetapi meminta jabatan itu mempercepatkan kelulusan peruntukan pembangunan bagi membolehkan rakyat menerima manfaat.

Menurutnya, ada segelintir ketua bahagian yang merasakan mereka lebih besar dan enggan bekerjasama dengan ADUN di kawasan masing-masing, walhal mereka menerima peruntukan lebih banyak daripada Kerajaan Pusat.

“Saya tiada masalah dengan ketua bahagian tetapi di sesetengah kawasan, berlaku pertindihan tugas antara ADUN, ketua bahagian dan penyelaras parlimen sehingga kurang kerjasama.

“Justeru, saya meminta kepimpinan tertinggi UMNO mengkaji semula fungsi dan keperluan ADUN untuk membolehkan slogan ‘BN Menang, Kedah Senang’ yang dilaung-laungkan akan menjadi kenyataan,” katanya.SH


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.