Lemah urus kewangan punca negara muflis

PETALING JAYA - Wanita Keadilan menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) jujur dan konsisten dalam kenyataan berkaitan ekonomi negara.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Haniza Mohd Talha berkata, kenyataan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia akan bankrap pada tahun 2019 ternyata bertentangan dengan jaminan Perdana Menteri bahawa Malaysia akan menjadi negara maju menjelang 2020.

Haniza berkata, kenyataan negara akan bankrap kerana pemberian subsidi adalah tidak tepat.

“Bagaimana pula dengan ketirisan RM24 bilion yang berlaku setiap tahun. Begitu juga dengan pengaliran wang rakyat berjuta untuk projek segera semasa pilihan raya kecil.

“Mengapa dibiarkan pemberian subsidi minyak kepada syarikat besar luar negara untuk penjanaan tenaga elektrik?” katanya.

Haniza berkata, membiarkan terus berlakunya ketirisan dan pembaziran wang rakyat, ternyata menunjukkan kelemahan dan ketidakupayaan pihak pengurusan.

Katanya, tindakan menarik balik subsidi bagi mengelak kegawatan ekonomi tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan negara.:

“Bekas Pengurus Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid juga menjelaskan bahawa penarikan subsidi hanya akan mengundang masalah inflasi yang lebih tinggi selain kos hidup terus meningkat.

“Peniaga dan peruncit akan mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Golongan miskin terutamanya miskin bandar akan terus meningkat sekiranya subsidi ditarik balik,” katanya.

Justeru, Wanita Keadilan Selangor mengesyorkan kerajaan perlu memperbaiki pengurusan kewangan negara iaitu berjimat dalam perbelanjaan, elakkan ketirisan dan telus dalam urusan kewangan, bukan menarik balik subsidi.

Katanya, sebagai langkah susulan sebelum subsidi ditarik balik, Wanita Keadilan Selangor juga mencadangkan supaya perbelanjaan harian, keistimewaan dan elaun ke luar negara pemimpin negara dan negeri dibekukan.

“Kita juga menyarankan agar Kerajaan Malaysia belajar dari negeri Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang berjaya menguruskan kewangan negeri masing-masing dan membuat penjimatan dalam perbelanjaan awam.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) bawah kerajaan Pakatan Rakyat juga mendapat pujian kerana berjaya melaksanakan perbelanjaan berhemah dan seterusnya sejumlah besar peruntukkan dapat dijimatkan,” katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.