Najib Gagal Bentang Pelan Perlaksanaan RMK-10

Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR 10 Jun - Senator Dr Ramakrishnan Suppiah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap ketiadaan pelan perlaksanaan berhubung pelbagai cadangan yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen hari ini.

"Yang membimbangkan ialah, walaupun semua cadangan kelihatan hebat dan bagus, tetapi tiada cara perlaksanaan yang khusus. Kita bimbang ini hanya akan menjadi seperti semua RMK yang lalu di mana cadangan yang tidak dilaksanakan lebih banyak daripada yang dilaksanakan.

"Tanpa satu proses yang jelas, bagaimana perlaksanaan ini akan dibuat? Ini jelas menunjukkan kerajaan Umno-BN hanya mahu membuat cadangan yang nampak sahaja dan kelihatan bagus tetapi pada dasarnya kosong sahaja," kata beliau.

Kata Dr Ramakrishnan lagi, jika kerajaan Umno-BN ingin membuat pembaharuan yang ikhlas dan jitu, ia perlu membentangkan satu rancangan yang terbuka dan telus, yang mencerminkan kemahuan kerajaan Umno-BN bagi membetulkan kesilapan lalu.

"Terdapat banyak isu penyelewengan dana yang diluluskan untuk RMK-9 dan kita tahu kebanyakkan projek besar diberi kepada kroni-kroni mereka. Apa jaminan dan pelan kerajaan Umno-BN untuk mengelakkan masalah ini daripada berulang? Jelas hari ini, kerajaan tiada pelan langsung," tegasnya lagi.

Beliau juga menyuarakan ketidakpuashatian beliau terhadap ketiadaan rumusan perlaksanaan RMK-9 lalu.

"Bila kita membuat atau melaksanakan apa-apa projek dan dasar, kita perlu membuat 'post mortem' agar kita dapat memastikan di mana kesilapan kita dan memastikan kita tidak mengulangi kesipalan tersebut.

"Tetapi, sehingga hari ini, kita tidak mendapat apa-apa laporan RMK-9 ataupun RMK-8, tidak tahu apa tahap kejayaan atau kegagalan RMK lalu dan terus melompat ke RMK-10. Apakah begitu banyak kegagalan sehingga tidak dapat dibentangkan?"

"Dalam pembentangan hari ini, Najib telah memberikan beberapa statistik dan sasaran RMK-9 yan dikatakan telah berjaya dicapai. Apa mekanisme yang digunakan oleh Najib untuk mendapatkan angka sasaran? Pelan kepunyaan kerajaan, dan agensi yang mengukur statistik pun di bawah kerajaan, maka bagaimana kita boleh memastikan tiada pengubahan atau penggunaan kaedah yang berat sebelah tidak berlaku?" tanya Dr Ramakrishnan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.