Parti Katak Tentang Mansuh UPSR Bersama DAP

DAP, MP Bebas bantah UPSR dan PMR dimansuh

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Konsensus Bebas hari ini tidak bersetuju dengan cadangan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri yang mengetuai sidang media bagi konsensus itu berkata peperiksaan awam UPSR adalah sebagai kayu pengukur tahap pencapaian persekolahan bagi Tahun Enam manakala PMR adalah bagi tahun kesembilan persekolahan.

“Lebih dari itu, peperiksaan awam berkenaan adalah kayu pengukur untuk keberkesanan pembelajaran antara daerah dan negeri serta antara latar belakang sosioekonomi sekolah.

“Rasional bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mendorong kepada sistem pendidikan yang menjuruskan kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan tetapi pemansuhan peperiksaan itu bukanlah penyelesaian terbaik dan hanya sistem pendidikan yang memberi penekanan seimbang antara pencapaian akademi dan aktiviti kokurikulum yang dapat membentuk ke arah satu sistem pendidikan yang holistik,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata kaedah latihan perguruan dan silibus pembelajaran perlu dikaji semula bagi membentuk sistem pendidikan yang holistik.

Selain itu, Mohsin Fadzli berkata konsensus bebas berpendapat bahawa sistem pendidikan di negara ini seolah bergantung kepada citarasa Menteri.

“Dasar pendidikan berubah mengikut perubahan penjawat portfolio Menteri Pelajaran. Oleh itu, konsensus bebas menyarankan kepada kerajaan bahawa satu dasar pendidikan yang berjangka panjang, konsisten dan berkesinambungan perlu digubal,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Bharu) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Konsensus Bebas ditubuh oleh lima wakil rakyat itu yang dahulunya daripada Parti Keadilan Rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu lagi sidang media berkata memansuhkan peperiksaan tidak akan mengubah kualiti pendidikan sekiranya tiada perubahan terhadap sistem pembelajaran dan pengajaran yang ada pada masa ini.

“Bagaimanapun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana turut menyatakan bahawa kementerian mahu mendapat maklum balas daripada orang ramai bagi membantu memperbaiki sistem peperiksaan awam, sebelum memutuskan perkara itu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.