Bosan Dan Menyampah Dengan Raja Katak

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berpendapat rakannya di Dewan Rakyat Tian Chua wajar dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu berdasarkan peruntukan undang-undang walaupun hakim berpendapat pilihan raya kecil perlu dielakkan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata Dewan Rakyat juga wajar mengisytiharkan kerusi Batu sebagai “kosong” dan pilihan raya kecil sepatutnya diadakan bagi menghormati peruntukan undang-undang.

“Peruntukan undang-undang mengekehendaki hakim buat keputusan berteraskan kepada undang-undang semata-mata, bukan tujuan mengelakkan pilihan raya kerana itu bukan peranan mengikut doktrin pemisahan kuasa,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi teks SMS.

Ibrahim menyatakan demikian ketika wujud polemik tentang status Chua selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurangkan hukuman denda daripada RM3,000 kepada RM2,000 pada Khamis lalu.

Ditanya mengenai hasrat hakim mahu mengelakkan pembaziran duit rakyat dan tidak mahu diadakan pilihan raya kecil, Ibrahim menambah, isunya bukan membazir ataupun tidak, sebaliknya asas perundangan perlu dipertahankan.

“Isunya bukan membazir atau tidak... ini isu perundangan,” kata beliau lagi.
Oleh itu kata Ibrahim, adalah tidak wajar kedudukan Chua yang juga Pengarah Strategi PKR dikaitkan dengan dasar perlu atau tidak pilihan raya kecil kerana beliau merupakan seorang Ahli Parlimen yang turut menggubal undang-undang tetapi melanggar undang-undang dengan mencederakan anggota polis.

Nasib Chua kini terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat yang akan menentukan statusnya.

The Malaysian Insider difahamkan ia juga tertakluk kepada rayuan Chua yang bakal dibuat nanti.

Lewat malam tadi Chua mengumumkan kemungkinan akan membuat rayuan peringkat kedua.
Bagaimanapun Chua berkata, sekiranya beliau membuat rayuan ia hanya bertujuan untuk membuktikannya tidak bersalah, bukannya untuk meleraikan pertikaian kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.

Beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan. Selain beliau, pihak pendakwa juga mempunyai hak untuk membuat rayuan.

Malah Chua menegaskan, beliau masih seorang Ahli Parlimen Batu yang sah.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata wakil rakyat dari PKR ini kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga satu usul menentukan status kelayakannya diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menurut Pandikar, usul itu hanya akan dibawa selepas Chua menggunakan kesemua ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Pagi semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengekalkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Chua bertujuan supaya tiada pilihan raya kecil diadakan.

Hakim itu juga menyatakan beliau tidak boleh mengubah keputusannya yang dibuat pada Khamis lepas, kata peguam Ranjit Singh yang mewakili Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chang.

Ghazali mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Ketika menyampaikan keputusannya, Ghazali berkata seandainya hukuman yang dikenakan boleh menjadikan Chua tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara pelbagai kaum,” kata beliau dalam penghakiman.

Susulan itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata perlu mengosongkan kerusinya mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Sebagai contoh, pada 1975, katanya Ahli Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Mengikut Perkara 53 Perlembagaan itu, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika beliau tidak merayu mengenai keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya pula berkata akan menerima apa sahaja keputusan dibuat yang bakal dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung status Chua dalam menentukan keperluan mengadakan pilihan raya kecil.

“Kalau Speaker membuat keputusan berdasarkan Perkara 53(1) (Perlembagaan), keputusan beliau adalah muktamad. Ia tidak dicabar oleh mana-mana pihak... ini kes sabitan mahkamah,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

No comments

Powered by Blogger.