Populariti Najib naik tapi keyakinan inisiatif rendah

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 8 Jun – Populariti kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri mencecah 72 peratus – paras tertinggi sejak April 2009 – naik tiga peratus berbanding paras yang direkodkan dua bulan yang lalu.

Meskipun paras populariti kepimpinan beliau terus mengalami peningakatan sejak awal tahun lalu – daripada 44 peratus pada April 2009 dan kini 72 peratus, kadar keyakinan rakyat terhadap inisiatif-inisiatif kerajaan diterajuinya masih terhad.

Sebagai contoh hanya 50 peratus responden yang ditemui yakin dengan inisiatif yang Najib perkenalkan, seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru, akan membolehkan matlamat-matlamat mereka tercapai, kata Pengarah Eksekutif firma kajian pandangan umum Merdeka Center, Ibrahim Suffian.

Hasil kajian yang dikenalikan bagi tempoh 6 hingga 16 Mei lalu dikeluarkan hari ini.

Ketika tempoh itu negara menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, yang Barisan Nasional gagal mempertahankannya.

Ibrahim menambah, majoriti mereka yang ditemui - sekitar 58 peratus berpandangan bahawa “kerajaan persekutuan memang bagus dalam perancangan tetapi lemah dalam pelaksanaan.”

Kajian terbaru ini dikendalikan di Semenanjung menggunakan telefon membabitkan 1,028 responden.

Mengenai populariti Najib, Ibrahim berkata, kepimpinan beliau diterima kebanyakan rakyat atas alasan pengundi merasakan bahawa negara sedang menuju hala tuju yang betul.

Katanya ramai beranggapan bahawa ekonomi negara berada di landasan yang baik manakala umumnya Malaysia mana dan kondusif untuk pembangunan.

Berhubung pecahan populariti menikut kaum, kata beliau, Najib popular di kalangan 77 peratus orang Melayu, Cina pula 58 peratus dan sangat tinggi iaitu 80 peratus kalangan masyarakat India.

“Kajian ini mendapati paras rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau masih kekal di tahap yang sama iaitu 21 peratus berbanding 22 peratus pada Jun 2009,” katanya.

Ditanya mengenai senarai isu yang menjadi keutamaan orang ramai, Ibrahim memberitahu, 53 peratus pengundi memilih usaha memerangi rasuah sebagai isu yang paling utama kerajaan harus memberi perhatian.

Kajian itu juga mendapati rakyat berbelah bahagi berhubung soalan mengenai hala tuju negara.

Seramai 52 peratus berkata negara berada di hala tuju yang betul manakala 34 peratus berpendapat “hala tuju salah” dan 14 peratus tidak pasti ataupun tidak boleh berkata apa-apa.

Berhubung isu-isu, kajian terbaru ini mendapati bahawa keprihatinan rakyat terhadap isu ekonomi adalah tinggi iaitu 22 peratus, masalah sosial (14 peratus), perpaduan nasional (13 peratus) manakala kestabilan politik, jenayah dan keselamatan awam masing-masing (10 peratus).


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.