RMK-10 Tempang Kerana Gagal Iktiraf Wanita

Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebagai gagal kerana tidak mengiktiraf golongan wanita yang merupakan nadi dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenepikan perancangan untuk golongan wanita dalam RMK-10 itu membuktikan dasar yang dibentangkan itu bersifat tempang dan pincang.

"Jika ia gagal memanfaatkan kebajikan wanita dan mengiktiraf kaum wanita, maka hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjadi tempang dan pincang kerana sekarang lebih 50 peratus penduduk Malaysia adalah wanita.

"Wanita juga pembuat keputusan dalam urusan kewangan keluarga," katanya kepada Suara Keadilan ketika mengulas berhubung perbahasan beliau mengenai RMK-10 di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Wanita KEADILAN itu turut mengkritik kelemahan Perdana Menteri kerana meminggirkan keistimewaan dan peranan wanita dalam RMK-10.

"PM Najib bila bentang RMK-10 langsung tidak menyentuh dan gagal untuk mengangkat teras ekonomi hawa ini dalam perancangan meningkatkan ekonomi Malaysia.

"Betapa pentingnya pengiktirafan itu diberikan kepada kaum hawa dalam pertumbuhan ekonomi negara yang perlu diambil kira sekarang.

"Sebagai kerajaan yang prihatin juga, tidak sepatutnya wanita digugurkan dalam perancangan dasar kerajaan ini," tegas Zuraida.

Sambil merujuk kepada laporan antarabangsa, Zuraida menyarankan Najib memandang jauh dan memberi perhatian serius terhadap potensi wanita sebagai pemacu ekonomi negara.

"Sama ada dia cetek, dia tidak bijak atau dia tak tahu saya pun tak tahu tetapi memandangkan dalam Havard Economy Review telah melaporkan potensi ekonomi wanita akan melebihi semua penduduk Cina dan India dan itu satu angka yang besar," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan membuat penetapan strategik bagi mengiktiraf keistimewaan wanita.

"Perlu diambil perhatian bahawa ramai graduan kita adalah kaum wanita, maka satu pendekatan yang agresif perlu difikirkan secara kreatif untuk memanfaatkan kelompok graduan wanita ini yang berperanan dalam ekonomi negara dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan kehidupan kekeluargaan mereka," katanya.

Ketika ditanya mengenai isu pelepasan cukai rakyat yang diberikan kepada wanita yang menanggung suami yang tidak bekerja, Zuraida berkata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin hanya menjawab secara menyeluruh ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Sadique dalam pertanyaan bagi jawab lisan pagi tadi.

"Menteri tadi menjawab mengenai isu ini secara menyeluruh dan tidak mengkhususkan dan memberi satu bebanan kepada golongan perempuan.

"Bagi seorang perempuan, mereka perlu membantu keluarga dan menyumbang banyak tenaga untuk keluarga. Sebab itulah ianya perlu diberikan pengkhuussan kepada wanita kerana mereka perlu diberikan pelepasan istimewa sebagai mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara dengan kerja tanpa gaji berhubung kerja reproduktif iaitu mengandung, melahirkan dan menyusukan anak dan sebagainya.

"Di Malaysia ini belum lagi mencapai tahap pemikiran yang mana kedudukan wanita itu perlu diberikan pengiktirafan dan diukur atas kerja yang dilakukan tetapi tidak ada data atau angka yang mengukur pengiktirafan mereka," katanya.

Sehubungan itu, adalah wajar Kementerian Kewangan meningkatkan pelepasan cukai kepada isteri atau isteri yang menanggung suami sebanyak RM3,500, katanya.

No comments

Powered by Blogger.