Rosmah Didakwa Kekang Kebebasan Media

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu penjelasan samada Menteri atau isteri Perdana Menteri memainkan peranan memberi arahan kepada penerbit stesen televisyen kerajaan atau swasta dengan tujuan mengekang kebebasan media.

Tian Chua ketika membahaskan usul penangguhan mesyuarat Dewan Rakyat petang semalam berkatasejak kebelakangan ini aduan anggota media berhubung usaha menyekat kebebasan media melalui campur tangan tokoh politik amat membimbangkan.

Insiden pertama membabitkan Joshua Wong, penerbit rancangan 'Buletin' dan 'Isu Semasa' yang disiarkan dalam ntv7, yang terpaksa meletak jawatan sebagai protes campur tangan Jabatan Perdana Menteri dan juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tian Chua memberitahu Joshua juga dilarang membincangkan isu politik termasuk dilarang mengundang anli panel daripada pembangkang serta semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya meminta Kementerian Penerangan memberi penjelasan samada arahan Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri selain larangan yang telah dikenakan ke atas Joshua adalah munasabah bagi seorang penerbit yang profesional.

"Kemelut ini tidak hanya melanda ntv7 sahaja, malah insiden kedua menimpa penerbit TV2, Chou Z Lam berkaitan dengan dokumentasi 'Galeri Manderin Nasional' yang dibatalkan kerana mendatangkan kesan politik kepada kerajaan Barisan Nasional Sarawak ketika kempen pilihan raya kecil Sibu sedang berjalan.

"Rancangan dokumentasi ini merakamkan secara fakta dan objektif pengalaman penduduk pribumi Sarawak yang menghadapi kesulitan dan kesengsaraan hidup berhubung dengan pembinaan Empangan Bakun.

"Chou Z Lam menerima penjelasan daripada Ketua Pengarah Bilik Berita, Jumat Engson bahawa kandungan rancangan itu terlalu sensitif dan tidak sesuai di siarkan," jelasnya.

Tian Chua memberitahu, beliau memohon Kementerian Penerangan menyatakan pendirian dalam persoalan hak bersuara dan hak menerima maklumat.

Dalam kes ini suara kaum pribumi yang menghadapi ancaman kehidupan telah ditindas termasuk hak rakyat disekat menerima maklumat atau pengetahuan.

"Ekoran dua insiden di tersebut, kejadian ketiga pula berulang sekali lagi apabila pembatalan siaran isu pembinaan menara elektrik di Rawang tanpa sebab. Pada 13 Mei yang lepas, Chou Z Lam menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Bahagian Khidmat Pengurusan dengan alasan mengurangkan kos.

"Alasan sedemikian tidak boleh diterima bagi seorang penjawat awam, ini perlu dikembalikan hak beliau bukannya dicabuli oleh kerajaan sendiri.

"Di samping itu, saya pohon Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menjalankan penstrukturan semula dalam pentadbiran RTM supaya memberi ruang kebebasan untuk membincangkan isu kepentingan awam. Berikutan insiden-insiden ini, Menteri telah melantik Yap Shy Cuan dengan tugas memantau rancangan Mandrin yang mana jawatan ini tidak pernah wujud dan hanya dikenali sebagai pegawai khas dalam RTM," katanya lagi.

Beliau juga meminta Menteri memberi penjelasan tentang tugas dan tujuan jawatan Yap Shy Cuan dalam bahagian tersebut.

"Penjelasan perlu diberikan oleh Menteri apa tugas sebenar Yap Shy Cuan, saya mendapati Yap Chy Cuan merupakan ahli MCA dan merupakan perwakilan Pemuda MCA Bahagian Bera, Pahang. Apa yang saya ketahui rupa-rupanya beliau menjalankan kawalan terhadap kakitangan profesional dalam RTM dan memastikan perspektif selain kepentingan parti pemerintah dipertahankan," tegas beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.