UKM Gantung Keahlian Empat Pelajar Yang Didakwa Berkempen PRK Hulu Selangor

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membelakangkan prinsip demokrasi apabila bertindak menggantung keahlian keempat-empat mahasiswa di dalam Kelab Sains Politik universiti itu yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Presidennya Hilman Idham ketika ditemui Suara Keadilan di lobi parlimen berkata beliau telah menerima surat penggantungan yang dihantar oleh pihak UKM berhubung isu tersebut.

Selain beliau, Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina (Setiausaha) dan Woon King Chai selaku exco kelab berkenaan turut digantung.

Menurut timbalan presiden kelab itu pula, Mohd Rahimi Hassan, keempat-empat mereka menerima surat penggantungan pada surat yang bertarikh 14 Jun lalu dan ditandatangani oleh ketua Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman

“Kandungan surat yang diterima menyatakan bahawa penggantungan tugas dan jawatan mereka adalah bermula daripada tarikh 2 Jun atas alasan bahawa prosiding ke atas keempat-empat mereka masih lagi belum selesai,” kata Mohd Rahimi dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, keempat-empat mahasiswa itu berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Pada 1 Jun lalu, mereka memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Mohd Rahimi, sehubungan dengan penggantungan itu, kelab berkenaan mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergemparnya pada Selasa depan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bagi membincangkan tindakan susulan.

“Agenda mesyuarat antaranya ialah membincangkan pendirian persatuan berkenaan keputusan UKM untuk menggantung kedudukan keempat-empat ahli berkenaan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.