Ansari, Thamrin bersaing menjadi ketua PKR Sabah

Oleh Luke Rintod

KOTA KINABALU: PKR Sabah sekali terbelah dua dalam persaingan untuk menentukan siapa yang akan memimpin parti di peringkat Sabah. Persaingan kini di antara penyandang Ahmad Thamrin Jaini dan peguam Ansari Abdullah.

Meskipun Dr Jeffrey Kitingan tidak berada di kalangan kepimpinan parti di Sabah, para penyokong beliau memberikan sokongan padu kepada Thamrin untuk jawatan ketua PKR Sabah.

Ketika jawatankuasa perhubungan negeri bermesyuarat buat kali pertama malam tadi setelah kongres parti yang berlangsung bulan lepas, nama Jeffrey langsung tidak dicadangkan oleh ketua cabang yang menyokongnya.

Seorang ketua cabang memberitahu dengan syarat namanya tidak disiarkan, berkata bahawa kebanyakan dari 23 cabang (dari sejumlah 25) yang diwakili mahu penyandang, Ahmad Thamrin kekal sebagai ketua.

Hanya Jeffrey yang mengetuai cabang Pensiangan dan ketua cabang Kota Kinabalu, Christina Liew tidak menghadiri mesyuarat tersebut.

“Ketua cabang Batu Sapi, Hassnar Ebrahim sahaja yang lantang mahukan Ansari mengambil alih jawatan tersebut. Majoriti mahukan Thamrin dikekalkan. Tiada siapa pun termasuk penyokongnya mengesyorkan nama Jeffrey,” katanya.

Menurut sumber dalaman, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menghadapi kesukaran ketika mempengerusikan mesyuarat selama 3 jam. Mesyuarat tersebut bermula pada pukul 11.30 pagi.

Menurut mereka kebanyakan masa diperuntukkan untuk membincangkan perihal pilihanraya kecil Batu Sapi baru-baru ini berbanding dengan agenda memilih ketua perhubungan PKR negeri.

Mereka mendakwa Hassnar mendominasi mesyuarat sambil membuat tuduhan sabotaj. Dia turut mencadangkan agar Ansari dilantik sebagai salah seorang naib presiden.

Kuala Lumpur mengawal negeri

Para pemerhati menyatakan bahawa Jeffrey berkemungkinan meminta ketua cabang yang menyokong beliau memberikan sokongan kepada Thamrin.

Sejumlah 18 dari 25 ketua cabang telahpun menandatangani memorandum yang meminta agar Thamrin dikekalkan sebagai ketua di Sabah. Memorandum tersebut akan diserahkan kepada presiden parti, Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail.

Enam ketua cabang yang tidak menandatangani memorandum tersebut ialah Tuaran (Ansari), Kota Marudu (Anthony Mandiau), Ranau (Jonathan Yasin – ipar Ansari), Tenom (Halik Zaman – bapa saudara Ansari), Papar (James Ghani) dan Batu Sapi (Hassnar).

Sumber dalaman parti menyatakan bahawa peguam James Ghani dan Mandiau dijangka berlepas ke Kuala Lumpur untuk melobi bagi pihak Ansari. Kedua-duanya lantang mahu presiden parti menentukan siapa yang akan menjadi ketua di Sabah.

Ini merupakan antara perkara yang tidak disenangi Jeffrey dan pemimpin PKR Sabah yang lain kerana ia menunjukkan PKR sama dengan Umno dalam perkara berkaitan Sabah. Pentadbiran Kuala Lumpur sentiasa mahu mengawal dan mencampuri urusan negeri Sabah.

Saifuddin memberitahu mesyuarat bahawa dia akan memberikan laporan berkaitan kepada presiden parti berdasarkan mesyuarat yang dijalankan.

Menurut sumber nama ketua PKR Sabah yang baru akan diumumkan menjelang 18 Disember.

Cuti Jeffrey akan berakhir pada hari Khamis ini . Setakat ini beliau belum menyatakan rancangannya.

No comments

Powered by Blogger.