KP Jakim: Kami tiada kuasa bertindak ke atas lelaki mengaku ‘gay’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan pihaknya tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki Melayu beragama Islam yang membuat pendedahan berani dalam laman YouTube bahawa dirinya seorang “gay”.

Lelaki tersebut, berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Awan Ismail dan bekerja sebagai jurutera selain penyair dan penulis, dalam pengakuannya mendakwa dia rela membuat pengakuan terbuka seumpama itu kerana percaya seseorang itu perlu mengenali siapa dirinya yang sebenar dan berhak memberitahunya kepada orang lain.

Wan Mohamad berkata, Jakim hanya boleh mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membendung budaya “gay” dan tidak mempunyai kuasa mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap lelaki itu.

Sebaliknya, Wan Mohamad berkata agensi-agensi penguat kuasa lain mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas individu-individu berkenaan.

“Untuk ambil tindakan undang-undang Jakim tiada kuasa, yang boleh ambil tindakan undang-undang adalah agensi penguatkuasaan seperti pihak berkuasa agama negeri dan juga polis.

“Jakim bukan agensi penguat kuasa dalam kes ini, kita hanya boleh ambil langkah untuk menyekat budaya ini dengan bekerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Baru-baru laporan media tempatan menyebut Jakim akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan ekoran pengakuannya.

Bagaimanapun Wan Mohamad memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan menyusun langkah bagi membendung budaya “gay” yang didakwa semakin berleluasa.

“Tindakan yang kita nak ambil tidak semestinya tindakan undang-undang, kita akan ambil langkah untuk menyekat budaya ‘gay’ di negara ini.

“Kita juga mengambil langkah lain dengan menyediakan program pemulihan kepada mereka yang terjebak dengan budaya ‘gay’ ini,” katanya.

Dalam video klip sepanjang dua minit 41 saat itu lelaki terbabit juga mendakwa dia mengambil masa yang lama untuk mengenali dirinya sebelum yakin dengan apa yang diamalkan itu serta masa depan kehidupannya menyebabkan ia mendorongnya membuat pengakuan terbuka berkenaan.

Pengakuan lelaki itu turut boleh dilawati melalui pautan laman sesawang “ohbulan” yang turut menyebut jurutera itu terpilih sebagai seorang daripada peserta kempen Seksualiti Merdeka yang mendapat sokongan pergerakan It’s Get Better Project.

Keberanian lelaki itu membuat pengakuan terbuka turut mengundang pelbagai kecaman orang ramai yang turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perbuatan itu yang melanggar norma manusia dan ajaran Islam.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengarahkan Jakim memantau kegiatan kumpulan pengamal seks songsang, termasuk gay yang kini semakin berani mempromosikan gaya hidup itu secara terbuka di alam siber.

Beliau berkata, kegiatan tidak sihat itu perlu dipantau dan diambil tindakan tegas kerana perbuatan kumpulan terbabit boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan dikhuatiri ramai yang lemah pegangan agama mudah terpengaruh.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS pusat turut menggesa semua pihak berkuasa agama setiap negeri supaya memantau kegiatan “gay” secara keseluruhan kegiatannya yang didakwa semakin berleluasa.

1 comment

Anak Ulu Cheka said...

alahai...makin menjadi la puak sengal tu...

apa guna memegang kuasa tapi tak berkuasa utk menentang kemungkaran...pelik2...jadi pd siapa nak dipertanggungjawabkan...najib ke?

Powered by Blogger.