Umno kurang pemimpin, Najib kekal Pengerusi Umno Selangor

SHAH ALAM, 31 Dis – Kesudian Najib untuk terus menjawat jawatan Pengerusi Umno di Selangor bukanlah satu penghargaan tetapi lebih kepada penghinaan terhadap kepimpinan Umno Selangor.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, perlantikan ini menunjukkan parti tersebut berada dalam keadaan goyah sehingga menyebabkan tiada pimpinan baru yang layak bagi menerajui Umno Selangor.

“Ia merupakan pengiktirafan akan kegagalan pemimpin-pemimpin Umno di negeri Selangor ini untuk memainkan satu peranan yang boleh meyakinkan pimpinan Umno peringkat pusat, ianya sepatutnya dilihat sebagai satu penghinaan terhadap Umno selangor itu sendiri.

“Ini menunjukkan betapa Umno Selangor sekarang berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga tidak ada kepimpinan yang boleh diketengahkan oleh Najib sendiri,” jelasnya.

Tambah Khalid lagi, beliau yakin ini merupakan satu lagi taktik kotor Umno yang ingin menakluk Selangor semula seperti yang dilakukan terhadap negeri Perak sebelum ini.

“Ini merupakan satu petanda bahawa Umno hendak rampas kuasa di negeri Selangor dalam apa jua cara sekali pun, dia nak ulangi apa yang berlaku di Perak,” katanya.

Khalid membuat kenyataan selepas Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menyifatkan kesudian Najib terus menjawat jawatan sebagai Pengerusi Umno Selangor merupakan satu penghargaan kepada Umno Selangor.

No comments

Powered by Blogger.