Tak mampu tenangkan gelora Umno Kedah

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 31 Dis: PAS dan Pakatan Rakyat Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kerana memilih Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gandingan 'terbaik' untuk meneraju Umno di negeri ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang ditemui berkata, perlantikan kedua-dua tokoh itu dilihatnya tidak mampu mendatangkan ancaman besar kepada Pakatan Rakyat Kedah.

"Perlantikan kedua-dua tokoh itu membuktikan bahawa Umno sudah ketandusan pemimpin yang berkarisma untuk diangkat sebagai calon Menteri Besar sekiranya mereka berjaya merampas kembali negeri ini dalam pilihan raya akan datang.

"Ahmad Bashah bukan sahaja dikenali di kalangan ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang kurang berkemampuan, malah mereka juga tak yakin dengan kredibilitinya untuk bersaing dengan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak sebagai Menteri Besar yang telah berjaya memimpin pentadbiran negeri dengan baik walaupun baru tiga tahun diberi kepercayaan berbuat demikian," katanya.

Mahfuz yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah turut mempunyai alasan untuk meragui keupayaan Mukhriz bergandingan dengan Ahmad Bashah memimpin Umno Kedah.

"Saya melihat Mukhriz yang dilantik sebagai timbalan kepada Ahmad Bashah sebagai 'orang baru' yang diangkat naik bukan dengan keupayaan sendiri tetapi menumpang populariti orang lain, iaitu bapanya Tun Mahathir Mohamed.

"Beliau juga merupakan pemimpin Umno di Kubang Pasu yang jarang sekali menghadiri mesyuarat bahagian kerana tidak sebulu dengan beberapa pemimpin di situ yang dikatakan bertanggungjawab dalam komplot menyingkirkan bapanya sebagai perwakilan ke perhimpunan Umno suatu ketika dulu," ujarnya.

Mahfuz turut berpandangan, perlantikan kedua-dua tokoh itu sukar untuk menenangkan gelora politik dalaman Umno Kedah apabila tumbang dalam piihan raya lalu, sebaliknya Pakatan Rakyat akan merintis jalan mudah untuk mempertahankan kemenangan yang sedia ada.

"Saya dihubungi ramai orang-orang lama Umno Kedah, ada di antara mereka yang masih aktif berpolitik dan sebahagiannya telah bersara dan mereka turut berkongsi berpandangan sama dengan saya.

"Walau bagaimanapun, kita amat mengalu-alukan perubahan dalam pucuk kepimpinan Umno Kedah dan berharap kepimpinan baru ini akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada kerajaan negeri.

"Saya juga harap mereka tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan amalan demokrasi di samping bersikap lebih terbuka menerima sebarang kritikan," katanya.

Rombakan badan-badan perhubungan Umno, Isnin lalu telah melantik Ahmad Bashah untuk mempengerusikan Umno Kedah, manakala, Mukhriz dilantik sebagai timbalan berkuatkuasa 1 Januari nanti.

No comments

Powered by Blogger.