Tahun 2011 pilih BN atau Pakatan?

Ramli Abdul Samad


Pabila tirai 2010 melabuh tidak lama lagi, maka tinggal sekurang-kurangnya tiga bulan saja sekiranya Pilihanraya Umum(PU) ke-13 menjelang bilamasa yang banyak pihak menjangkakannya.

Pastinya BN mahupun Pakatan akan membuat strategi terbaik bagi mendapat mandat daripada rakyat untuk mentadbir negara tercinta kita, Malaysia.

Biasanya parti pemerintah tidak akan menunggu sehingga genap lima tahun dari tarikh BN menang pada PRU ke-12 dulu untuk memanggil PRU ke-13.

Ada dua kecenderungan yang sedang wujud dalam lanskap politik negara kita. Pertama prestasi BN boleh dikatakan sedang merosot kerana terlalu banyak kes yang tidak mungkin boleh meyakinkan rakyat bagaimana ia wajar diberi peluang lagi untuk memerintah selepas 53 tahun sarat dengan rekod buruknya – khasnya yang melibatkan keruntuhan tiang seri atau institusi demokratik seperti lembaga polis, kehakiman, SPRM, SPR, Parlimen dan Pejabat Peguam Negara.

Keduanya kos untuk hidup selesa semakin meningkat bagi golongan bawahan mahupun pertengahan. Lebih daripada setengah penduduk negara adalah dalam kategori pendapatan rendah. Kos hidup akibat inflasi dan tingginya kos utiliti seperti elektrik, harga makanan, tol dan minyak petrol sebenarnya membawa kepada rendahnya mutu hidup rakyat. Rakyat dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana tidak mungkin boleh membeli rumah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru kerana harga kos rumah sudah melambung dan di luar kemampuan rakyat biasa untuk memilikinya.

Pengenalan GST nanti akan memburukan lagi keadaan walaupun kerajaan BN ingin membawa negara ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Agensi kerajaan ‘mendera personaliti’

Peristiwa-peristiwa yang mengkaitkan pada badan-badan berkenaan sepanjang 53 tahun dahulu atau sepanjang dua setengah tahun selepas PRU12 menunjukkan bahawa adalah jelas sekali kesemua badan itu tidak lagi mempamerkan kebebasan mereka. Mereka bertindak tetapi cenderung memilih bulu. Contoh terbaik ialah badan-badan itu lebih condong mendera personaliti daripada Pakatan.

Pemerintah BN jarang sekali menjejaki kes besar yang melibatkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat akibat angkara daripada personaliti BN, jika ada pun kes itu tidak ke mana melainkan pada tahap akhirnya diputuskan sebagai kes berkenaan masih tidak mencukupi bukti kukuh untuk menghukumi mereka yang bertanggungjawab. BN akan bertindak ke atas kes-kes kecil tetapi akan menggambarkannya bagaikan ia bertindak tidak memilih kasih.

Kes besar misalnya bagaimana pada era pemerintahan Mahathir dulu yang melibatkan ketirisan berbilion-bilion ringgit atau pada zaman pemerintahan Abdullah Badawi yang jumlah ketirisan bagi kedua pemerintahan itu melenyapkan sebanyak RM350 bilion. Ketirisan di sini bermaksud amalan kegiatan rasuah dan salah urus tadbir dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan negara.

Rakyat disedarkan melalui pelbagai wahana ICT semasa oleh mereka daripada kalangan pembangkang akan skandal-skandal mega. Sekian hari sekian ramai rakyat yang sedar, khasnya yang hidup di persekitaran kota, dan dengan kesedaran ini akan diterjemahkan kepada undi bagi pihak Pakatan.

Bagaimanapun BN akan terus bersikap menafikan lalu mengguna jentera pemerintah sama ada akhbar atau media arus perdana miliknya untuk memomokkan dakwaan daripada Pakatan. Perang psikologi ini akan berteruskan saban hari dan akan memuncak sehingga PRU13 nanti. Setiap hari akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, TV3, TV7 dan Awani akan mencanang pelbagai cerita bertujuan memburukkan kredibiliti dan potensi Pakatan bak secara langsung atau tak langsung.

Dicekik kerajaan pusat

Pakatan juga sedar bahawa ia mempunyai idea ke hadapan bagi mentadbir negara tetapi sedar juga bahawa untuk mentadbir negara ia tidak lagi mempunyai pengalaman sewajarnya seperti BN. BN kaya pengalaman dalam hal ehwal mengurus kegiatan rasuah tingkat tinggi.

Inilah satu kekurangan yang menonjol daripada PR. Pengalaman PR memerintah di empat buah negeri penuh dengan kesulitan sehingga tidak mungkin dapat memenuhi janji-janji muluk yang dibuat sebelum dapat memerintah dahulu, apatah lagi bantuan kewangan daripada pusat ke negeri-negeri berkenaan tidak berjalan begitu lancar. Kekurangan dana boleh menjejaskan perjalanan program untuk rakyat.

Bukan itu saja, malahan masalah dalaman sama ada yang benar berlaku atau direkayasa oleh BN selalu tersiar di akhbar dan perkara sebegini juga akan mempengaruhi persepsi rakyat dalam proses membuang undi pada PRU13 nanti.

Apakah rakyat dapat menerima dan masih boleh bersabar dengan kerenah Pakatan yang memerintah di empat buah negeri itu. Pakatan telah mengadakan beberapa konvensyen dan mengeluarkan dasar yang amat progresif bagi menangani pentadbiran negara.

Apakah mesej itu sudah disebarluaskan? Mesej itu menghimbau rakyat kembali kepada amalan dan keluhuran undang-undang dan menuju kepada kecermerlangan dan kedaulatan rakyat. Jika sudah, besar kemungkinan Putrajaya adalah milik Pakatan pada PRU13 nanti.

BN pula kerjanya asyik hendak menampal kebocoran yang sedang berlaku pada kapal BN dengan lembaga-lembaga yang disebutkan tadi.

BN harus bekerja keras untuk mendapatkan jumlah kerusi Parlimen seperti pada tahun 2004 dulu iaitu 109 bagi Umno, tidak seperti 79 kerusi buat ketika ini. Mendapatkan semula kerusi sebanyak itu bukanlah satu usaha yang mudah dalam tempoh terdekat ini. Harus diingat jumlah pengundi muda semakin meningkat dan anak muda pun sulit hendak menerima konsep ‘Ketuanan Melayu’ ala Umno. Ketuanan Melayu adalah pegangan dan akidah politik Umno.

Parti rakannya seperti MCA, MIC, PPP dan Gerakan kini dalam krisis, meskipun skala keseriusan adalah berbeda-beda. Tetapi tetap akan memberi kesan negatif kepada bakal pengundi nanti.

Tampaknya jika Pakatan boleh memantapkan perpaduan dan ikatan yang lebih, maka sulit BN akan dapat menggekalkan status quonya.

Kita tidak tahu apa lagi taktik paling kotor atau hodoh yang akan digunakan oleh BN untuk meruntuhkan Pakatan. Kes ‘Liwat kedua’ Anwar Ibrahim adalah jijik bagi orang yang simpati pada BN mahupun Pakatan dan kes sejumlah RM350 bilion yang hangus di bawah pemerintahan Abdulllah Badawi dan Mahathir Mohamad dulu adalah tidak kurang jijiknya pada rakyat jelata. Jadi bagaimana perhitungan rakyat?

Memilih BN atau PR? Banyak negara di dunia telah mengalami pertukaran parti pemerintah dalam apa jua sistem ‘demokrasi’ kecuali segelintir saja yang masih menggekalkan parti sejak mereka merdeka seperti China, Singapura, Cuba dan Brunei.

Negara seperti Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Sepanyol, Amerika Syarikat, New Zealand, United Kingdom dan banyak lagi di negara Amerika Latin mahupun di Eropah telah mengalami pertukaran parti untuk memerintah dari masa ke semasa.

Malaysia, jangan pula menjadi sebuah negara terakhir untuk mengalami pertukaran parti, maknanya BN akan selama-lamanya memerintah Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.