Larangan penggunaan logo 1Malaysia menepati garis panduan PBT

SHAH ALAM, 28 Dis – Tindakan Kerajaan Negeri Selangor melarang penggunaan logo 1Malaysia dipremis perniagaan adalah selari dengan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengarah Strategi Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli berkata, langkah yang diambil Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor berlandaskan garis panduan PBT, bukan bermofitkan politik semata- mata.

“Saya kira perkara ini bukanlah perkara baru. Ia sememangnya telah dipolitikkan sebab undang-undang tempatan di bawah majlis-majlis perbandaran, jelas bahawa logo-logo politik tidak boleh diletakkan di premis-premis perniagaan dan sebagainya,” kata Rafizi.

Beliau menambah, Pakatan Selangor hanya mengaplikasikan undang-undang sedia ada yang diwarisi dari Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Beliau berpandangan, tindakan Umno-BN mengerahkan media kawalannya supaya mensensasikan tindakan larangan penggunaan logo 1malaysia itu tidak lebih daripada agenda politik mereka semata-mata.

Justeru, Rafizi menyeru rakyat negeri ini dan juga rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang dimainkan parti pemerintah.

“Logo 1 Malaysia itu digunakan sebagai propaganda politik dan ia bergerak ke arah supaya rakyat mengenal pasti 1Malaysia itu Barisan Nasional, dacing itu 1 Malaysia. There move it to that,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang mengatakan isu larangan logo 1Malaysia itu akan dijadikan senjata politik oleh Umno-BN dalam usaha memburukkan imej pentadbiran Pakatan di Selangor.

“Saya kira pertimbangan Kit Siang harus diambil kira. Maknanya penerangan kita kepada rakyat, rakyat kena faham. Ini bukan permainan politik, ini undang-undang biasa, undang-undang tempatan,” katanya.

Kit Siang yang juga Penasihat DAP sebelum ini mahu kerajaan Selangor mengkaji semula larangan penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di negeri itu.

Larangan itu bingkas disambut timbalan Perdana Menteri dengan melabelkan Pakatan Selangor sebagai takut kepada penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.