Jawatan SUK, kerajaan negeri tuntut keadilan

SHAH ALAM 31 Dis - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor menuntut keadilan dalam pemerintahan dan memohon agar dikembalikan sepenuhnya kuasa mentadbir negeri kepada kuasa yang dipilih rakyat.

Dalam ucapan ringkasnya Khalid berkata, menjadi amalan biasa sebelum ini, pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) terlebih dahulu mendapat persetujuan Sultan dan Menteri Besar.

Tetapi menerusi isu menghapuskan kekebalan Sultan sejak 1993 oleh Umno, kuasa melantik SUK telah ‘dilupuskan’ daripada Sultan dan Menteri Besar.

Sejak itu jelasnya, tiada lagi kuasa sultan dan Menteri Besar untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang selain SUK.

“Untuk pilih seorang itu, kita perlu ambil kira kemesraan, keinginan dan visi mereka dalam memperjuangkan masa depan rakyat.

“Dalam pengurusan, kerjasama berpasukan adalah keperluan utama untuk sama-sama merancang dan bertukar fikiran.

“Kita mahu satu perubahan berlaku di Selangor supaya kepimpinan dapat menjalankan tugas dengan telus supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam majlis solat hajat dan bacaan Yasin yang diadakan di kediaman rasmi beliau di sini, malam tadi.

Bercakap di hadapan 200 jemaah yang hadir, Khalid menjelaskan, sebuah panel khas telah ditubuhkan bagi memilih calon yang layak menjawat jawatan tersebut.

Panel yang terdiri daripada Speaker Selangor, Tan Chang Khim, Exco Datuk Dr Hassan Ali dan Dr Xavier Jayakumar telah menyenarai pendekkan tiga calon iaitu Datuk Nordin, Datuk Mazlan dan Datuk Adnan.

Namun menurut beliau, calon tersebut ditolak Sultan atas alasan lambat menghantar nama.

“Saya tidak tahu pula kena berlumba hantar nama,” kata beliau disambut gelak tawa jemaah.

Khalid turut mengumumkan perletakan jawatan Datuk Ramli sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa Mac 2011.

Sehubungan itu katanya, Datuk Khusrin Munawi yang dilantik Kerajaan Pusat tidak termasuk dalam senarai, justeru menuntut DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk membantu mewujudkan keadilan di negeri itu.

“Saya ambil masa cari calon yang layak dan nama Datuk Khusrin tidak ada dalam senarai calon.

“Saya harap Tuanku Sultan lembut hati bagi membantu mencari calon terbaik bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” ujar Khalid.

Menurutnya lagi, Selangor menjadi tumpuan banyak pihak, justeru tidak hairan jika ada pihak yang mahu menyuntik usaha jahat dalam pentadbiran Kerajaan Pakatan di Selangor.

“Pembangunan Selangor akan tentukan pembangunan negara. Sebab itu ramai yang mahu ‘tangkap’ Selangor, ” katanya.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata, tidak wajar libatkan Sultan dalam politik jika ingin dapatkan sokongan rakyat.

Beliau juga berkata, menjadi amalan sesiapa pun tidak akan hadir sesuatu majlis walimatulurus jika tidak mendapat undangan untuk hadiri kenduri berkenaan.

“Datuk Khusrin perlu faham-faham sendiri, nama beliau tidak ada dalam senarai jemputan sebagai SUK,” sindirnya akhiri ucapan.

Turut hadir ke majlis Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad

No comments

Powered by Blogger.