Perlantikan Khusrin dipertikai banyak pihak

SHAH ALAM, 28 Dis – Perlantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor terus dipertikai banyak pihak.

Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin beranggapan tindakan Kerajaan Pusat mengumumkan perlantikan itu menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan tidak melalui Kerajaan Negeri Selangor, akan mencetuskan huru-hara dalam pentadbiran negeri.

“Saya menyanggah tindakan KSN (Ketua Setiausaha Negara) melantik dan mengumumkan perlantikan SN (Setiausaha Negeri) tanpa merujuk atau memberitahu, apalagi mendapat persetujuan daripada MB. Bagi saya tindakan KSN berniat jahat untuk melaksanakan agenda jahat BN ke atas kerajaan negeri,” katanya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam mengumumkan perlantikan Datuk Khusrin Munawai sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Perkara itu turut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani berkuat kuasa 1 Januari 2011.

Perlantikan itu dilihat mempunyai agenda tersendiri berikutan kerajaan negeri telah mengemukakan tiga calon untuk menerajui jawatan itu.

Justeru Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil inisiatif bertemu Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok, bagi memohon perkenan Baginda mempertimbangkan keputusan itu dengan mengambilkira asas politik negeri Selangor.

Badrul menjelaskan, sekiranya perlantikan Khusrin tetap diteruskan maka jangkaan akan timbul masalah dalam pentadbiran negeri Selangor tidak akan meleset.

“Tetapi sekiranya perlantikan Khusrin diteruskan juga, ini akan menimbulkan masalah pentadbiran negeri memandangkan rekod Khusrin sememangnya menimbulkan konflik dengan negeri ketika mentadbir Jais.

“Jadi bagi kita, Tuanku Sultan yang bijaksana tentu akan melihat perkara ini melalui penilaian yang teliti dan saya yakin Sultan ada kuasa dalam hal ini untuk menentukan hala tuju negeri Selangor,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.