Dr Lo Lo: Apa kesudahan nasib penduduk Kampung Baru?

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 menyaksikan Kampung Baru ditandakan sebagai kawasan komersial, akan menyebabkan penduduk Kampung Baru kehilangan hak penempatan di situ, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali.

Katanya, pindaan itu juga memberi maksud bahawa penduduk Kampung Baru tidak boleh lagi menetap di Kampung Baru dan perlu berpindah.

Mengikut draf rancangan itu, Kampung Baru di Kuala Lumpur telah ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya menunjukkan semua kawasan seluas 250 ekar tanah di Kampung Baru akan dimasukkan sebagai satu daripada tiga Pusat Komersial Bandaraya (CCC).

Ini menimbulkan persoalan sama ada rumah-rumah kediaman di Kampung Baru, termasuk rumah tradisional Melayu terpaksa dirobohkan untuk pembinaan bangunan komersial.

Bercakap kepada TV Selangor, Dr Lo Lo membidas Umno-BN yang sering melaung-laungkan konsep Ketuanan Melayu tetapi gagal mempertahankan tanah warisan Kampung Baru.

“Saya terkejut dengan pindaan ini, dan tidak menjangkakan perkara tersebut akan timbul dalam pindaan kali ini, kerana sebelum ini penduduk-penduduk Kampung Baru sering dijanjikan untuk memiliki hartanah di Kampung Baru dan tetap akan boleh tinggal di sana.

“Jadi kalau 100 peratus komersil bermakna tiada ‘residential area’, maknanya tidak ada kawasan kediaman dan ini bermakna semua penduduk Kampung Baru terpaksa keluar daripada Kampung Baru,” katanya.

“Kesan jangka masa panjang ialah mereka akan kehilangan warisan bangsa, di mana menerusi Ketuanan Melayu, Umno mempertahankan tanah kampung pun tidak mampu, jadi tidak guna Ketuanan Melayu dilaung-laungkan.

“Jadi dari segi tindakan, mereka tidak melakukan apa yang sewajarnya sebagai parti memerintah,” katanya lagi.

Tambah Dr Lo Lo, beliau berharap rang undang-undang tersebut diterangkan kepada penduduk Kampung Baru sebelum dibentangkan di parlimen.

Kira-kira 39,000 penduduk menetap di Kampung Baru dan nasib mereka kini menjadi tanda tanya.

“Saya tidak mengharapkan rang undang-undang ini dibentang di parlimen selagi tidak diterangkan dan dikemukakan kepada penduduk Kampung Baru untuk mendapat feedback dan pandangan mereka” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.