Enjin Jet:Permohonan penggantungan kekal N.Tharmendran ditolak mahkamah

SHAH ALAM, 17 Dis – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N.Tharmendran untuk penggantungan kekal ke atas tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 yang dihadapinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad ketika memutuskan perkara itu berkata Tharmendran sukar untuk membuktikan bahawa wujudnya campurtangan luar dalam prosiding kes itu.

Beliau berkata mahkamah juga tidak menemui sebarang penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak pendakwaan dalam kes tersebut.

Selain itu, Asmabi berkata pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk membuat keputusan siapa yang sepatutnya didakwa dan undang-undang tidak menetapkan bahawa pesalah utama perlu dituduh bersama dengan rakan subahat.

Peguam N.Surendran yang mewakili Tharmendran sebelum ini dalam hujahannya mempersoalkan mengapa hanya anak guamnya sahaja yang didakwa sedangkan pesalah utama dalam kes itu (Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop) tidak didakwa.

Mengenai dakwaan anggota TUDM itu bahawa dia lewat dituduh iaitu enam bulan selepas ditahan pada Julai 2009, Asmabi berkata pihak pendakwaan berhak untuk mengenakan tuduhan pada bila-bila masa dengan alasan yang munasabah.

Selain itu, mengenai dakwaan Tharmendran bahawa dia telah didera oleh dua pegawai TUDM semasa ditahan, Asmabi berkata kes tersebut adalah di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia dan bukan TUDM.

Beliau bagaimanapun mencadangkan agar tertuduh memfailkan saman sivil ke atas kedua-dua pegawai TUDM terbabit.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh hadir bagi pihak pendakwaan.

Surendran ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah dan memfailkan saman sivil terhadap dua pegawai TUDM terbabit.

Pada 6 Jan lepas, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini terhadap tuduhan bersubahat dengan Mohamad Shukri mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun pada 25 Nov lepas, Tharmendran ditahan semula oleh TUDM atas kesalahan meninggalkan tugas.

No comments

Powered by Blogger.