Jakim jumpa mufti dipercayai berhubung isu bukan Islam guna ayat al-Quran

Oleh G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memanggil satu mesyuarat khas malam esok bagi membincangkan penggunaan ayat-ayat al-Quran oleh perwakilan bukan Islam pada Kongres Nasional PKR hujung minggu lalu.

Pertemuan itu yang akan dihadiri oleh mufti-mufti dijangka diadakan di Putrajaya.

Difahamkan Jakim akan mengeluarkan garis panduan hasil mesyuarat itu, tetapi tidak dipastikan sama ada akan ada fatwa khas kemudian.

Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad mengesahkan mengenai mesyuarat itu tetapi tidak menjelaskan agenda pertemuan itu.

The Malaysian Insider difahamkan Jakim menghubungi pejabat-pejabat mufti hari ini bagi memaklumkan mesyuarat tersebut.

“Esok malam, kita memang akan ada mesyuarat khas bersama Jakim tetapi tidak dimaklumkan apa agendanya.

“Saya masih belum dapat maklumat mengenai agenda mesyuarat khas esok,” kata beliau ketka dihubungi The Malaysian Insider sambil berkata, kemungkinan besar tidak akan dapat menghadiri mesyuarat khas itu kerana ada urusan lain.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan perkembangan penggunaan ayat al-Quran oleh bukan Islam ketika Kongres Nasional PKR hujung minggu lalu.

Sehingga petang ini, usaha mendapatkan pengesahan Jakim belum berhasil.

Difahamkan mesyuarat khas itu akan membincangkan perkembangan Kongres Nasional PKR di mana S Kesavan, perwakilan dari Perak dan Adun Hutan Melintang, yang memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul Ahad lalu.

Tindakan Kesavan yang membacakan terjemahan yang salah daripada Ayat 190 dan 191 Surah Ali-Imran mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jamil Khir berkata, penafsiran ayat al-Quran yang tidak betul di depan khalayak ramai boleh menjadi satu penghinaan yang serius terhadap Islam dan tidak boleh dibiarkan.

Justeru tegasnya, para ilmuwan agama wajib menegur dan tidak boleh sekadar menutup mata supaya setiap kesilapan dapat dibetulkan sekali gus memastikan pihak yang melakukan kesalahan tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa depan.

Bagaimanapun Musyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat al-Quran untuk merujuk sesuatu perkara sebagaimana disaksikan di Kongres Nasional PKR baru-bau ini.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pengalamannya berceramah bersama seorang pemimpin DAP dahulu, pemimpin itu merujuk kepada beliau ayat yang hendak digunakan terlebih dahulu sebelum berucap.

Mufti Selangor Datuk Tamyes Abdul Wahid dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara (mesyuarat khas) itu, sehingga hari ini saya masih tidak dimaklumkan,” kata Tamyes.

Wan Zahidi pula berkata beliau tidak mempunyai sebarang autoriti untuk menjawab soalan yang dikemukakan The Malaysian Insider itu.

“Saya tidak boleh jawab soalan ini, saya tiada autoriti. Kalau mahu tahu anda boleh bercakap dengan pengerusi atau timbalan Majlis Mufti-mufti,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.