Kampung Baru : Majlis Penasihat Akan Ditubuh

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Satu Majlis Penasihat 15 anggota akan ditubuhkan khusus sebagai penasihat kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PPKB), kata Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) Datuk Ahmad Phesal Talib.

Lapor Bernama , dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata, anggota Majlis itu nanti terdiri daripada seorang pengerusi, dan ahli-ahli Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, yang mewakili pemilik tanah Kampung Baru.

Beliau berkata PPKB diwujudkan di bawah Seksyen 5(1) Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 Disember lepas.

Menurutnya perbadanan itu berfungsi melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan di dalam kawasan Kampung Bharu menurut Pelan Struktur dan Pelan Tempatan yang diperuntukkan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata 16 orang yang dicadang menganggotai PKKB nanti terdiri daripada seorang pengerusi yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, empat orang wakil kerajaan persekutuan dan dua orang wakil pemilik tanah kampung, seorang wakil kerajaan negeri yang dinamakan oleh Raja Negeri Selangor, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Bandar Kuala Lumpur atau wakil, dan enam anggota lain yang mempunyai profesionalisme dalam perkara berhubungan dengan pembangunan kampung dan apa-apa yang sesuai.

Katanya beberapa siri penerangan juga akan diadakan oleh Dewan BandarayaKuala Lumpur dengan kerjasama Lembaga Pentadbiran MAS, khusus untuk memberi penerangan kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

“Siri penerangan itu membabitkan ketujuh-tujuh kampung di dalam Kampung Bharu termasuk Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periuk yang sudah diadakan pada 14 Dis lepas,” katanya dan menambah semua pemilik dan pewaris tanah di kampung-kampung berkenaan diharap dapat hadir bagi membolehkan penerangan lengkap disampaikan kepada mereka.

No comments

Powered by Blogger.