Kase serah memo mohon campur tangan Agong

SHAH ALAM 22 Dis – Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) bakal menyerahkan satu memorandum bagi memohon campur tangan Yang di Pertuan Agong (YDPA) terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 oleh kerajaan, tegas pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar.

Kelulusan itu juga menurutnya dibuat secara tergesa-gesa dan melalui undi belah bahagi pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, masih ada peluang kerana YDPA belum menandatangani rang undang-undang tersebut.

“Dalam konteks perundangan ini, Yang Di Pertuan Agong merupakan orang terakhir yang boleh memberi pertimbangan. Untuk memberi pertimbangan wajar samada untuk dititah semula untuk penambah baikan kemudian dikembali ke Parlimen. Jadi esok saya nak minta kepada YDPA untuk tidak menandatangani.” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Memorandum itu akan dihantar ke Istana Negara jam 10 pagi esok bersama beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Pada 15 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan rang undang-undang itu yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (Span).

Bagaimanapun, kelulusan rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagi pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 menyokong, manakala 40 lagi menentang.

Rang undang-undang itu menurut Mahfuz mengandungi beberapa perkara yang tidak adil untuk rakyat khususnya pelaksanaan sistem AES yang disifatkanya sebagai saman ekor cara baru.

Justeru beliau berharap YDPA sebagai pemimpin tertinggi boleh membantu.

“Saya nak mohon perkenan di bawah duli Tuanku demi untuk rakyat, ini yang perlu dilakukan oleh Tuanku,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.