Konvensyen kedua PR dan cabaran menunaikan janji

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kedua pada 19 Disember ini, di tengah-tengah suasana yang sangat mencabar bagi gabungan parti pembangkang ini.

Dengan beberapa agenda besar dalam senarai dan pilihan raya umum yang dijangka semakin hampir, konvensyen kedua membawa cabaran yang getir kepada PR.

Selepas kegembiraan ekoran Mac 2008, kegagalan projek 16 September Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan 13 pilihan raya kecil, konvensyen kali ini jauh sekali daripada konvensyen di Shah Alam pada tahun lalu.

Konvensyen pertama masih penuh dengan harapan, cita-cita besar dan semangat pakatan baharu yang berdepan Umno dan Barisan Nasional yang agak lemah dan berpecah-belah.

Dalam konvensyen pertama, yang berlangsung ketika cabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-13 masih jauh, pelbagai janji dan harapan diberikan, janji dan harapan yang perlu ditunaikan dalam konvensyen kedua nanti.

Konvensyen Ahad nanti bakal berjalan dalam suasana ahli-ahli berada dalam keadaan battle weary, selepas cabaran sebenar realpolitik, politik aliansi dan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri menghambat parti-parti komponen.

Beberapa pilihan raya kecil terakhir menyaksikan peningkatan prestasi Umno dan BN dan gabungan parti pemerintah itu mula mendapat suntikan semangat baharu kebelakangan ini, dan telah membuka keahlian yang dijangka akan meningkatkan undi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pada masa sama, parti-parti PR berdepan pelbagai cabaran, terbaharu pergeseran dalaman pemilihan parti Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Pada satu masa, PR dengan penuh minat berbicara tentang "sistem dua parti" yang didakwa satu keperluan untuk menewaskan BN dan menubuhkan kerajaan pusat.

Tetapi kini, beberapa hari sebelum konvensyen kedua di Pulau Pinang, PR berdepan dengan kemunculan kuasa ketiga dalam politik Malaysia, yang akan turut merebut kerusi dalam pilihan raya umum nanti.

Satu hujah yang dinyatakan melalui kemunculan kuasa tersebut - yang menjadi sebahagian daripada kuasa ketiga dalam politik negara - ialah harapan tidak boleh lagi diletakkan sepenuhnya pada PR.

Bagi PR, cabaran untuk menunjukkan kesatuan seperti BN masih menjadi satu agenda yang masih sukar dicapai.

Pendaftaran PR sebagai sebuah entiti seperti BN, yang mencetuskan isu seperti lambang bersama dalam pilihan raya dan sebagainya tidak memberi kelebihan kepada PR, malah mungkin menjadi isu yang akan menjadi sasaran BN untuk dieksploit.

Isu ideologi masih menjadi isu sensitif yang mampu menjejaskan eksperimen terbaharu parti-parti pembangkang ini, selepas Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif berpecah akibat perdebatan isu ideologi.

Konvensyen ini dijangka menjadi pertemuan besar terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, menjadikannya medan untuk menunjukkan wajah bersatu dan bersefahaman kepada rakyat, dan paling utama, untuk meyakinkan diri sendiri.

PR kini berdepan cabaran paling getir sejak penubuhannya, iaitu menyelesaikan banyak agenda sekaligus dalam satu pertemuan, untuk menyampaikan mesej positif kepada rakyat.

Selepas hampir tiga tahun kejayaan parti-parti PR dalam pilihan raya umum 2008, kini tidak cukup lagi PR untuk hanya menunjukkan bahawa ia lebih baik berbanding BN, tetapi benar-benar menunaikan janjinya kepada rakyat Malaysia.

http://www.politikpop.com/2010/12/konvensyen-kedua-pr-dan-cabaran.html

No comments

Powered by Blogger.