Lacur diri: Rujuk nas dan hukum agama

SHAH ALAM, 19 Dis – Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hasan At-Tantawi membidas kenyataan ’sepintas lalu’ Pakar Motivasi terkenal Dr Fadzilah Kamsah di akhbar Harian Metro minggu lalu yang menyatakan seseorang itu boleh melacurkan dirinya dalam keadaan darurat.

Nasrudin mengingatkan agar hukum agama perlu merujuk dahulu kepada nas dan asas agama dari mereka yang lebih tahu agar sensitiviti Islam tidak dipermainkan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya ingin mengingatkan, bahawa semua pihak yang ingin bercakap mengenai agama khasnya, perlu merujuk kepada mereka yang lebih tahu akan Islam itu dari sudut asas dan cabangnya sebelum mengeluarkan satu-satu kenyataan mengenainya,” tegas beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Dalam akhbar Harian Metro terbitan 11 Disember lalu, Fadzilah mengulas mengenai laporan seorang GRO yang melacurkan dirinya bagi menyara hidup dibolehkan dalam keadaan terpaksa.

Bagaimanapun empat hari kemudian Fadzilah sekali lagi mengeluarkan kenyataan beliau tetap menganggap pekerjaan melacurkan diri dan GRO itu sebagai haram.

Nasrudin bagaimanapun kesal dengan tindakan pakar motivasi itu kerana mengulas hal itu tanpa menyelidik atau merujuk kepada mereka yang ahli dalam hal agama.
“Kenyataan yang membenarkan seseorang itu melacurkan diri dengan alasan darurat tidak sepantasnya dikeluarkan begitu sahaja. Kenyataan demikian jelas bercanggah dengan maqasid Islam itu sendiri. Islam tidak mengajar kita menghalalkan cara demi mencapai matlamat kita,” kata beliau.

Menurut Nasrudin lagi, negara Malaysia yang mempunyai Islam sebagai agama rasmi memberi peluang kepada semua rakyatnya mencari rezeki yang halal dan tidak terus bergelumang dalam kegiatan tidak bermoral dan berdosa.

“Apakah Negara kita telah kehabisan makanan? Apakah kerajaan Negara ini telah kehilangan moral dan nilai simpati untuk membantu rakyatnya ? Apakah masyarakat kita telah pupus semangat membantu dan menghulur bantuan kepada yang memerlukan,” komen beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.