Langkah awal kerajaan sekat mahasiswa

Oleh Muhammad Safwan Anang@Talib

Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, gerakan mahasiswa dilihat lesu dan tidak lagi lantang dalam mendepani isu-isu di peringkat kampus dan nasional.

Namun, khabar-khabar angin tersebut dengan sendiri terpadam apabila melihat partisipasi anak muda khususnya mahasiswa dalam perhimpunan membantah kenaikan kadar tarif air di Selangor, ahad lalu.


Partisipasi golongan yang menjadi third force dalam negara dalam siri-siri perhimpunan yang melumpuhkan kota Kuala Lumpur sebenarnya dinanti-nantikan. Maka, kehadiran anak muda yang mengujakan pada perhimpunan lalu menjentik rasa sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan.

Apabila bahang pilihanraya umum ke-13 kian terasa, dibuktikan dengan kemunculan isu-isu tradisi yang menjadi modal pihak tertentu seperti isu ketuanan Melayu, isu rasis dan isu kenaikan harga barang yang kembali dimainkan, maka mahasiswa juga turut tidak terlepas.

Golongan mahasiswa, yang memegang kuasa ‘undi termahal’ tidak terlepas diperhati. Bagi pihak-pihak tertentu, golongan ini tidak boleh dibiarkan mengacau-bilau strategi yang telah diatur bagi memenangi pilihanraya akan datang.

Justeru, tidak hairanlah timbulnya sekatan-sekatan terhadap mahasiswa yang sengaja dibuat, khususnya kepada aktivis gerakan yang dilihat semakin ‘garang’.

Terbaru, isu Kes Rosmah Puaka yang melibatkan lima mahasiswa Universiti Malaya yang awalnya dibebaskan, namun kembali diheret ke mahkamah. Bagi aktivis gerakan mahasiswa, sebenarnya ia bukanlah suatu kejutan baru. Namun, ia harus difahami sebagai langkah awal mereka menuju kemenangan.

Bagi gerakan mahasiswa, perjuangan yang tidak berlandaskan kepentingan individu dan mengharapkan balasan ini akan terus bertahan. Perjuangan menegakkan keadilan dan meruntuhkan benteng kezaliman tidak akan selesai.

Mahasiswa, sebagai agen perubah negara berikrar tidak akan sesekali berundur walaupun dihadapkan dengan gergasi pengkhianat ummah dan masyarakat. Hidup mahasiswa!

* Penulis merupakan mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Pendidikan Islam Universiti Malaya merangkap aktivis gerakan mahasiswa nasional.

No comments

Powered by Blogger.