Mahkamah Sesyen : Khir Toyo didakwa atas rasuah pembelian tanah

SHAH ALAM, 6 Dis – Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah membabitkan pembelian hartanah tanah di Seksyen 7 di sini.

Pendakwaan tersebut dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwaraya.

Dr Khir bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan tersebut di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Beliau, yang juga ADUN Sungai Panjang dan Ketua Pembangkang DUN Selangor didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Abdul Gani mengumumkan bahawa semua saksi dalam perbicaraan Khir Toyo akan diberikan perlindungan sepenuhnya.

“Kita akan mengketengahkan beberapa saksi dan beberapa saksi utama akan diberikan perlindungan penuh,” katanya kepada media di luar mahkamah tengahari tadi.

Beliau menekankan bahawa umum wajar menyedari keadaan berkenaan supaya pihak-pihak berkenaan tidak akan ‘mengganggu’ saksi yang terbabit.

Gani, juga menyatakan bahawa beliau berpuashati dengan hasil penyiasatan yang telah dijalankan.

“Seperti yang saya yelah nyatakan di mahkamah, penyiasatan tersebut telah dilakukan secara menyeluruh dan kami berpuashati dengan hasil penyiasan tersebut justeru menyaksikan pendakwaan yang telah dibuat,” tambah beliau lagi.

Apabila ditanya mengapa siasatan tersebut mengambil masa yang lama untuk disiapkan, Gani memberi alasan bahawa pihaka berkuasa tidak boleh menerima siasatan yang ‘longar’.

No comments

Powered by Blogger.